Rakyat Malaysia diminta berwaspada ekoran keganasan di Haryana, India

Bernama
Ogos 2, 2023 08:36 MYT
Penduduk tempatan bermotosikal melewati bangunan kedai yang terbakar dalam keganasan di daerah Gurugram, Haryana pada 1 Ogos 2023. - Reuters
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menasihatkan rakyat Malaysia di negeri Haryana supaya terus berwaspada dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan keganasan yang berterusan di kawasan itu.
Suruhanjaya Tinggi dalam akaun X (dahulunya Twitter) berkata pihaknya memantau rapat situasi keganasan yang dilaporkan pada Selasa di kawasan bersempadan dengan New Delhi selepas lima orang terbunuh dalam rusuhan sehari sebelum itu.
"Anda semua, sila pastikan keselamatan dan sentiasa berwaspada," menurut pejabat itu (@MYHNewDelhi) pada Rabu.
Sementara itu, wartawan Bernama di NEW DELHI melaporkan keganasan masih berterusan di negeri di utara India itu.
Keganasan bermula pada Isnin apabila Vishwa Hindu Parishad (VHP) membuat perarakan di daerah Nuh di wilayah Mewat.
Beberapa kedai dan perniagaan milik orang Islam di Gurugram, hab komersial kira-kira 20 kilometer (km) dari New Delhi, dibakar pada malam Selasa.
Pihak berkuasa di Gurugram, sebelum ini dikenali sebagai Gurgaon, menyekat perkhidmatan Internet di kawasan Sohna, Manesar dan Pataudi sehingga arahan lanjut, lapor media tempatan.
Menurut laporan, VHP dan Bajrang Dal, kedua-duanya sekutu kumpulan nasionalis Hindu Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS), merancang melakukan protes baharu di Noida, sebuah perbandaran di kawasan yang dikenali sebagai wilayah ibu negara (NCR) dan di New Delhi pada Rabu.
Bagi menghindar ketegangan kaum di daerah Nuh dan kawasan berhampiran, pentadbiran Gurugram merayu orang ramai "mengelak daripada menyiarkan kandungan yang boleh menjejaskan sentimen agama atau mengancam keharmonian", di media sosial.
Semua stesen minyak yang beroperasi di Gurugram diarah supaya tidak menjual petrol dan diesel dalam botol atau bekas lain kerana khuatir bahan api itu boleh digunakan untuk melakukan pembakaran.
Pasukan Tindakan Pantas (RAF), unit polis antirusuhan, melakukan "perarakan bendera", yang menunjukkan ketegasan, di kawasan Badshahpur di Gurugram, lokasi lebih sedozen kedai dibakar.
Keganasan juga dilaporkan di Palwal, kira-kira 60 km dari Delhi.
Di pekan Sohna, sekumpulan 200 orang menyerang Masjid Shahi Jama, menurut laporan di laman berita thequint.com.
Lima orang, termasuk seorang imam masjid dan dua anggota pasukan sukarela Home Guard, terbunuh dalam keganasan di Nuh dan Gurugram pada Isnin.
Berpuluh-puluh orang cedera dengan sekurang-kurangnya lima masih kritikal di hospital, menurut laporan itu.
Nuh, yang terletak kira-kira 70 km dari Delhi, dikenakan perintah berkurung sejak malam Isnin.
-- BERNAMA
#keganasan #Haryana #India #rakyat Malaysia