Rakyat Korea Utara kecewa lihat penampilan mewah anak Presiden

Agensi
Mac 1, 2023 18:30 MYT
Salah seorang rakyat Korea Utara memberitahu Ju Ae dilihat sihat berbanding kanak-kanak lain dengan penampilan cergas dan pipi yang bulat. - KCNA via Reuters
PYONGYANG: Rakyat Korea Utara meluahkan kekecewaan secara rahsia selepas melihat anak Kim Jong Un, Kim Ju Ae, yang hidup serba mewah sedangkan rakyat berdepan kesempitan hidup akibat krisis.
Memetik kenyataan kepada Radio Free Asia, salah seorang warga Korea Utara itu berasa marah apabila Ju Ae dilihat menjalani kehidupan selesa dengan makan termasuk pakaian yang mewah.
“Saya marah kerana keadaan saya sangat sukar, manakala Kim Ju Ae, yang kita semua tahu boleh makan dan hidup dengan baik, sering muncul di TV dengan pakaian mewahnya,” katanya yang enggan namanya disiarkan.
Dalam masa sama, salah seorang rakyat Korea Utara memberitahu, Ju Ae dilihat sihat berbanding kanak-kanak lain dengan penampilan cergas dan pipi yang bulat.
“Rakyat berkata, 'Pasti dia makan dengan baik. Wajahnya sangat putih dan bulat seperti bulan. Kebanyakan penduduk tidak boleh makan sehingga tulang pipi mereka menonjol," katanya.
Rata-rata rakyat Korea Utara meluahkan kekecewaan kerana anak kepada Presiden Kim Jong Un itu dilihat berbeza dengan anak rakyat biasa yang tidak mampu makan akibat kekurangan bekalan makanan.
Sejak akhir-akhir ini, media Korea Utara sering menyiarkan gambar dan video anak perempuan Kim Jong Un.
Beberapa pemerhati melihat kempen itu sebagai satu cara untuk Kim memperkenalkan pengganti masa depannya. Ju Ae sentiasa memakai pakaian mewah, kadangkala berpakaian dres hitam dengan butang emas dan sarung tangan kulit berkualiti tinggi.
The Associated Press melaporkan Korea Utara akan menghadapi kekurangan satu juta tan gandum tahun ini atau kira-kira 20 peratus daripada keperluan tahunannya.
Bukan sahaja kerana perbezaan kehidupan, penduduk turut mengecam penampilan Ju Ae kerana Korea Utara sendiri menjunjung budaya Komunis.
Korea Utara juga sering menghukum pelajar sekolah yang mengikut budaya kapitalis, seperti memanjangkan rambut atau mengikut fesyen terkini.
“Pakaian dan penampilan Kim Ju Ae sangat berbeza dengan apa yang dibenarkan ke atas remaja perempuan biasa,” kata seorang penduduk.
#Kim Jong Un #Korea Utara #Kim Ju Ae #Radio Free Asia
;