Rakyat Kanada mula mengundi pada Isnin
Bernama
September 20, 2021 20:29 MYT
September 20, 2021 20:29 MYT
TRENTON (Kanada): Rakyat Kanada bakal mengundi pada Isnin untuk menentukan pentadbiran baharu kerajaan persekutuan, namun keputusannya mungkin mengambil masa beberapa hari.
Ramai berpendapat pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan sengit antara Pemimpin Parti Liberal, Justin Trudeau dan ketua Parti Konservatif, Erin O'Toole dengan margin kemenangan tipis, menurut Agensi Berita Anadolu (AA).
Kekurangan petugas pilihan raya akibat pandemik COVID-19 dan jumlah kertas undi yang bertimbun, mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum keputusan dapat diumumkan.
Elections Canada, agensi yang bertanggungjawab menjalankan proses kiraan undi hanya akan menjalankan proses itu pada keesokan hari.
"Kemungkinan Rabu, Khamis, Jumaat ... bergantung kepada jumlah kertas undi dan berapa lama proses pengesahan dan pengiraan undi," kata jurucakap Elections Canada, Diane Benson kepada Perbadanan Penyiaran Kanada (CBC).
Sehingga Jumaat, lebih satu juta kit undi khas dihantar kepada mereka yang memilih untuk mengundi melalui pos, lapor CBC.
Pada pilihan raya 2019, Trudeau dan partinya menang tipis manakala hanya 50,000 orang yang mengundi melalui pos.
Trudeau memperoleh sokongan majoriti pada 2015, ketika pertama kali memimpin Parti Liberal dalam pilihan raya umum.
Tinjauan yang dibuat Sondage Leger untuk dua akhbar di Toronto dan Montreal pada Sabtu, mendapati Parti Konservatif mendahului Parti Liberal, dengan masing-masing memperoleh 33 peratus dan 32 peratus. Sementara Parti Demokratik Baharu (NDP) dengan 19 peratus undi.
-- BERNAMA