Rakyat Jerman beralih kepada kayu api untuk memanaskan rumah

Bernama
Oktober 31, 2022 06:15 MYT
Kayu api menjadi pelan sandaran sekiranya Jerman kehabisan gas pada musim sejuk dan sudah wujud kebimbangan gas akan dicatu untuk kegunaan industri. - Gambar hiasan
BERLIN: Kayu api kini semakin laris di Jerman dengan pembekal di seluruh negara melaporkan lonjakan dalam jualan setelah kos bahan api untuk sistem pemanasan melambung tinggi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kira-kira separuh rumah di Jerman dipanaskan dengan gas asli dan 25 peratus lagi menggunakan minyak pemanas manakala kurang enam peratus menggunakan kayu api.
Namun kini, pembekal bahan mentah itu tidak cukup tangan, menyebabkan kekurangan kayu api. Awal musim panas ini, Agensi Anadolu melaporkan Persatuan Kayu Api Persekutuan Jerman memaklumkan pasaran kini kehabisan kayu.
Heike, yang tinggal bersama keluarganya di Berlin, juga telah beralih kepada kayu untuk pemanasan pada musim sejuk ini.
"Menggunakan gas tidak lagi cekap dari segi ekonomi, kerana harga telah meningkat hampir dua kali ganda untuk kebanyakan orang di seluruh negara.
Heike berkata kayu api menjadi pelan sandaran sekiranya Jerman kehabisan gas pada musim sejuk dan sudah wujud kebimbangan gas akan dicatu untuk kegunaan industri.
"Permintaan sangat tinggi sehingga kebanyakan pembekal berhenti menerima pesanan pada Julai untuk sepanjang tahun ini. Ada yang cuba menyusun penghantaran untuk musim sejuk akan datang walaupun harga kayu meningkat dua kali ganda tetapi masih jauh lebih rendah berbanding sistem pemanas gas atau elektrik," katanya.
Gas didagangkan pada EUR350 (AS$348.50) setiap megawatt-jam pada Ogos di bursa TTF Belanda, namun susut kepada sekitar EUR92/MWj pada Selasa, tetapi masih lebih dua kali lebih tinggi daripada tahun lepas.
-- BERNAMA
#Jerman #kayu api #kos bahan api #sistem pemanasan
;