Rakyat Jepun keluar mengundi dalam pilihan raya awal
AFP
Disember 14, 2014 09:11 MYT
Disember 14, 2014 09:11 MYT
Rakyat Jepun keluar mengundi pada Ahad dalam pilihan raya umum yang diadakan lebih awal yang dilihat menguji populariti dasar ekonomi perdana menteri Shinzo Abe yang digelar “Abenomics”.
Pusat-pusat mengundi dibuka seawal jam 7.00 pagi di seluruh negara itu.
Proses pengiraan undi dijangka bermula pada sebelah malam dan keputusan awal dijangka dapat diketahui sejurus selepas itu.
Pemerhati berpendapat kerajaan sedia ada yang dterajui Parti Liberal Demokratik, LDP, yang dipimpin Abe bersama parti sekutunya Komeito tidak akan berhadapan masalah untuk kembali berkuasa di dewan rendah sekaligus menerajui negara itu.
Ini ditambah lagi oleh masalah pakatan pembangkang yang berada didalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya kali ini.
Abe dalam kempennya di Akihabara, Tokyo berkata, polisi "Abenomics"nya diusulkan untuk mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.
Katanya Jepun mampu untuk menjana pendapatan lebih tinggi.
Pungutan suara awal, mendapati kerajaan Abe mampu untuk meraih 300 daripada 475 kerusi yang ditandinginya untuk memberikan majoriti besar di dewan rendah.
Pembangkang pula dlihat mampu menambah beberapa lagi kerusi namun masih belum boleh menggugat kerajaan Abe.
Abe yang berusia 60 tahun memanggil pilihan raya awal bulan lalu.
Polisi "Abenomics" beliau antara lain menekankan kepada perubahan dasar dalam bidang kewangan, stimulus fiskal dan perubahan struktur dalam ekonomi negara itu.
Kemenangan akan memberikan peluang untuk Abe melaksanakan dasar-dasar yang dirancang untuk tempoh empat tahun lagi.