Rakyat Jepun bantah penganjuran Sidang Kemuncak G7 di Kyoto

Bernama
April 30, 2023 06:33 MYT
Penunjuk perasaan berhimpun di bangunan pentadbiran bandar Kyoto dan kemudian berarak menuju ke Taman Maruyama. - Foto AP
KYOTO: Satu demonstrasi diadakan di bandar Kyoto di Jepun pada Sabtu bagi membantah penganjuran Sidang Kemuncak G7, lapor Sputnik.
Penunjuk perasaan berhimpun di bangunan pentadbiran bandar Kyoto dan kemudian berarak menuju ke Taman Maruyama sambil melaungkan slogan: "Tiada sidang kemuncak! Jangan datang ke Hiroshima!".
Menurut penganjur demonstrasi itu, sidang kemuncak berkenaan dilihat sengaja untuk mengalihkan tumpuan rakyat terhadap pentadbiran Perdana Menteri Fumio Kishida berhubung dasar AS ke atas China dan peningkatan belanjawan ketenteraan.
Jepun selaku Pengerusi G7 2023 akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak kumpulan itu di Hiroshima dari 19 hingga 21 Mei.
Mesyuarat itu antara lain akan menumpukan kepada kesan krisis Ukraine, keselamatan ekonomi, pelaburan hijau dan rantau Indo-Pasifik.
Pemimpin negara lain termasuk India, Australia, Brazil, Korea Selatan, Vietnam serta Indonesia telah dipelawa untuk menyertai sidang kemuncak itu.
-- BERNAMA
#rakyat jepun #Sidang Kemuncak G7 #Kyoto #tunjuk perasaan