TOKYO: Rakyat Jepun pada petang Jumaat berhimpun di luar Kementerian Luar di Tokyo untuk membantah keganasan seksual oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang ditempatkan di negara itu, lapor Xinhua.

Awal hari yang sama, seorang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Daerah Naha atas kesalahan menculik dan menyerang secara seksual seorang gadis Jepun berusia bawah 16 tahun di Okinawa pada Disember 2023.

Penunjuk perasaan mengecam perbuatan itu dan berkata yang keganasan seksual oleh anggota tentera AS tidak boleh diterima dan hukuman penjara lima tahun adalah terlalu ringan berbanding penderitaan yang dialami mangsa.

Mereka turut mengkritik kerajaan pusat dan polis kerana gagal memberikan maklumat berkaitan kes itu kepada kerajaan wilayah Okinawa. Penunjuk perasaan menuntut Kementerian Luar bertanggungjawab kerana menyembunyikan butiran kes itu.  

Insiden jenayah membabitkan anggota tentera AS di Jepun menjadi isu berlarutan sekian lama. Menurut statistik Wilayah Okinawa, kira-kira 6,200 kes jenayah melibatkan anggota tentera AS dan orang tanggungan mereka direkodkan di Okinawa dari 1972 hingga 2023, termasuk kesalahan berat seperti pembunuhan, rogol dan rompakan.


-- BERNAMA