Rakyat Indonesia tunai tanggungjawab pada Pemilu 2014 hari ini

Astro Awani
April 8, 2014 07:00 MYT
Rakyat Indonesia akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini untuk Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia 2014.
Nasib calon-calon yang merebut 560 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau parlimen Indonesia akan ditentukan oleh 185.5 juta pengundi berdaftar negara tersebut.
Selepas ditaburi janji dan harapan ketika rapat umum atau kempen parti politik sepanjang tiga minggu yang berakhir Sabtu lepas, tiba masa bagi pengundi berdaftar Indonesia menentukan pemimpin mereka bagi tempoh lima tahun akan datang.
Rakyat Indonesia secara serentak akan memilih lebih 18,000 anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Tingkat I dan Tingkat II (ahli majlis tempatan) di semua 33 provinsi atau wilayah.
Ini merupakan kali keempat Indonesia melaksanakan Pemilu sejak kembali ke sistem demokrasi selepas 32 tahun dikuasai satu parti sahaja.
Bagi rakyat Indonesia yang tinggal di luar negara termasuk di Malaysia, mereka sudah pun menunaikan tanggungjawab masing-masing, dari 30 Mac hingga 6 April lepas.
Keputusan pengiraan segera Pemilu kali ini adalah dari 10 hingga 15 April, manakala KPU dijangka mengumumkan keputusan rasmi Pemilu 2014 dari 7 hingga 9 Mei.
Dalam sistem Pemilu yang dilaksanakan, mana-mana parti atau gabungan parti politik yang memperolehi 25 peratus undi popular atau memperoleh paling minimum 20 peratus kerusi DPR layak meletakkan calon bagi jawatan Presiden dan Naib Presiden.
Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono tidak lagi layak bertanding jawatan presiden kali ini kerana sudah dua penggal memegang jawatan tersebut biarpun parti yang diketuainya, Demokrat ditakdirkan memperolehi undi popular dan kerusi yang cukup di parlimen.
Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) dijangka akan memperolehi undi popular dan kerusi yang cukup di parlimen pada Pemilu kali ini.
Joko Widodo atau Jokowi dari PDI-P yang juga Gabenor Jakarta disebut-sebut bakal menjadi Presiden Indonesia yang baharu.
Jokowi menyandang jawatan Gabenor Jakarta sejak 2012 dan dijangka tamat tempoh pada 2017.
Sekiranya beliau dipilih sebagai Presiden Indonesia yang baharu, jawatan Gabenor Jakarta berkemungkinan akan diganti oleh timbalannya, Basuki Tjahaja Purnama atau akan dilaksanakan pemilihan gabenor yang baharu.
#Jokowi #PDI-P #pemilu 2014 #Susilo
;