Rakyat Indonesia pilih Presiden baharu esok
Bernama
Februari 13, 2024 18:33 MYT
Februari 13, 2024 18:33 MYT
JAKARTA: Pemilihan kepimpinan baharu Indonesia memasuki fasa penting pada tanggal 14 Feb iaitu esok Rabu, apabila kira-kira 204.8 juta pengundi layak untuk keluar mengundi di Tempat Pemungutan Suara (TPS) sempena Pemilihan Umum (Pemilu) 2024.
Sebanyak 820,161 TPS di 38 provinsi akan membuka pintu kepada para pengundi selama enam jam bermula 7 pagi sehingga 1 tengah hari.
'Pesta Demokrasi' di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bakal menentukan pengganti Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.
Calon presiden dan naib presiden bagi tempoh 2024-2028 akan dipilih pengundi serta sejumlah calon anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD).
Menurut Komisi Pemilihan Umum (KPU) Indonesia, pengundi akan menerima lima kertas undi di TPS.
Meskipun mengakui terdapat masalah dari segi logistik, Pengerusi KPU Hasyim Asy'ari memberi jaminan bahawa semua keperluan akan sampai hingga ke kawasan terpencil mengikut jadual.
Jokowi akan mengundi di Bangunan Lembaga Administrasi Negara, Jalan Veteran No 10, Jakarta Pusat berdasarkan surat undangan daripada Kelompok Penyelenggara Pemungutan Suara KPPS Gambir.
Fokus pastinya terarah pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres), yang melibatkan bekas Gabenor Jakarta Anies Baswedan yang berpasangan dengan Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin Iskandar, sebagai calon naib presiden.
Menteri Pertahanan Prabowo Subianto pula bertanding buat kali ketiga setelah kalah pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi dan kini bergandingan dengan anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai regunya untuk calon naib presiden.
Bekas Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo pula bergandingan dengan Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan.
Sekiranya tiada calon mencapai lebih daripada 50 peratus pada pusingan pertama, pusingan kedua dijadualkan pada Jun dengan hanya dua calon yang menerima undian paling popular.
Pada Pemilu kali ini, pengundi muda iaitu generasi Milenium dan Gen Z mewakili 54 peratus daripada jumlah pengundi yang layak seawal usia 17 tahun untuk menunaikan tanggungjawab.
Jumlah pengundi di Jawa paling ramai dan berpengaruh dengan 115.4 juta pengundi dan 454,444 TPS dibuka.
Jawa Barat mempunyai pengundi teramai iaitu 35.7 juta pengundi diikuti Jawa Timur dengan 31.4 juta, Jawa Tengah 28.3 juta, Jakarta 8.25 juta, Banten 8.8 juta dan Yogyakarta dengan 2.9 juta.
Nilam, 21, jurujual di pasar raya di Jakarta Selatan, mahukan calon Pilpres yang memahami aspirasi golongan muda, kerap mendapatkan maklumat mengenai visi dan misi di sosial media.
Nanang, 45, pemandu perkhidmatan pengangkutan, akan meninggalkan ibu negara pada 5 petang hari ini untuk menunaikan tanggungjawab di TPS Cianjur, Jawa Barat.
"Semoga masa depan lebih baik. Anak-anak mendapat akses pendidikan lebih baik, pekerjaan yang berkat dan banyak peluang untuk berniaga," katanya.
Rini, 52, kerani eksekutif di Jakarta Pusat berkata: "Pemilu kali ini saya rasa biasa saja kerana sudah membuat keputusan, tidak seperti di 2019 yang selalu fikir siapa dan akhirnya ikut naluri."
-- BERNAMA