Rakyat Indonesia bantah kenaikan harga bahan api
Fuad Misbah
November 18, 2014 22:42 MYT
November 18, 2014 22:42 MYT
Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo akhirnya memberikan respon peribadinya tentang isu pengurangan subsidi bahan api sebanyak lebih kurang 30 peratus dalam satu pengumuman pada Isnin malam.
Langkah itu dilihat tidak wajar dan berisiko tinggi dalam memperbaiki dan mengatasi kegoyahan ekonomi negara terbesar di Asia Tenggara.
Menurut respon yang telah dimuat naik di laman Facebook rasmi Presiden Indonesia yang ketujuh itu, beliau menyuarakan keprihatianannya terhadap kesusahan warga Indonesia ekoran daripada pengumuman tersebut.
Beliau berkata, tindakan untuk mengurangkan subsidi tersebut tidak dijalankan secara terburu-buru tetapi ianya adalah hasil daripada perbincangan yang mendalam oleh semua pihak terbabit.
Kata Jokowi, tindakan tersebut merupakan pemangkin untuk mempercepatkan pembangunan di dalam beberapa bidang termasuk infrastruktur, kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan keluarga bagi rakyat.
Beliau memberi jaminan bahawa keseluruhan jumlah subsidi yang telah dikurangkan akan disalurkan ke semua bidang tersebut dengan telus dan adil.
Dalam pengagihan itu nanti, Jokowi akan memastikan tiada sebarang penyelewengan berlaku ketika proses pengagihan itu.
Ekoran pengumuman yang dibuat pada Isnin malam, beberapa demonstrasi dan rusuhan yang dianjurkan yang kebanyakkan dihadiri oleh pelajar universiti bermula di seluruh Republik tersebut.
Kejadian rusuhan yang terjadi di Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia. Foto AFP/Yusuf Wahil.
Salah satu rusuhan berlaku di Makassar, Sulawesi Selatan yang membabitkan beberapa kumpulan pelajar yang membantah kenaikan harga petrol yang membabitkan seluruh rakyat negara tersebut yang mempunyai seramai 246.6 juta penduduk.
Dalam insiden di Makassar itu, pihak polis terpaksa campur tangan untuk menenangkan keadaan.
Kejadian rusuhan juga terjadi di Malang, Jawa Timur. Kebanyakan peserta demonstrasi adalah daripada golongan mahasiswa-mahasiswa di Seluruh Indonesia. Foto AFP/Aman Rochman
Di Malang, Jawa Timur kebanyakan peserta demonstrasi merupakan golongan mahasiswa yang turun padang atas dasar ketidakpuasan hati atas keputusan Presiden Republik tersebut.
Media sosial turut menjadi arena bagi kebanyakkan rakyat meluahkan rasa tidak puas hati mereka.
Warga Indonesia juga turut menyuarakan keluhan mereka di media sosial dengan menggunakan hashtag #SalamGigitJari dan #Salam2Ribu
Pengumuman lewat malam tadi menyaksikan harga petrol di Republik itu meningkat sebanyak 30 peratus dari 2,000 rupiah (RM0.55) kepada 8,500 rupiah (RM2.33) seliter.
Harga diesel pula naik 35 peratus dari 2,000 rupiah (RM0.55) kepada 7,500 rupiah (RM2.10) seliter.