Rakyat India bicara kemewahan perkahwinan anak jutawan Ambani, tidak semua mengagumi

Bernama
Julai 10, 2024 15:30 MYT
Suasana majlis pra-perkahwinan anak bongsu keluarga Ambani pada Mac lalu, yang turut diserikan dengan persembahan oleh Rihanna. - Reuters
NEW DELHI: Perkahwinan mewah antara anak lelaki kepada individu terkaya di India, Mukesh Ambani dengan anak perempuan seorang hartawan di Mumbai minggu ini, menjadi topik hangat yang diperkatakan oleh rakyat India ketika ini.
Namun, tidak semua mengagumi majlis perkahwinan mewah itu.
Perayaan mewah dirancang, dengan selebriti asing dan tempatan, penghibur terkemuka, tokoh politik terkenal dan tentunya, ramai taikun yang menghiasi senarai tetamu.
Ramai yang akan mengenakan pakaian yang tidak kelihatan janggal di set penggambaran filem India.
Pengantin lelaki adalah Anant Ambani, 29 tahun, anak bongsu Mukesh dan isterinya Nita Ambani yang berpendidikan di Amerika Syarikat.
Pengantin perempuan adalah Radhika Merchant, 29 tahun, anak kepada pengasas kumpulan farmaseutikal Encore Healthcare, Viren dan Shaila Merchant. Mereka telah saling mengenali selama bertahun-tahun.
Golongan kaya di India jarang malu untuk mempamerkan kekayaan mereka dan perkahwinan mereka sering mendapat perhatian lebih daripada penggabungan dan pengambilalihan korporat besar.
Anak perempuan Mukesh, Isha, berkahwin dengan Anand Piramal, anak kepada usahawan Ajay Piramal, pada 2018 dalam acara yang dikenang kerana mempamerkan kekayaan, glamor, kuasa politik, upacara Hindu yang rumit dan sambutan ala Bollywood serta perbelanjaan yang dilaporkan sebanyak US$100 juta.
Perkahwinan Anant pada hari Jumaat menjanjikan majlis yang tidak kurang hebatnya.
Sambutan praperkahwinannya selama tiga hari pada bulan Mac di Jamnagar, negeri Gujarat, menarik tokoh terkenal India dan asing, termasuk pengasas bersama Microsoft Bill Gates, pemilik Facebook Meta Mark Zuckerberg dan bintang pop Rihanna.
Lapangan terbang Jamnagar, yang menurut laporan media tempatan, adalah kemudahan utama Tentera Udara India (IAF), menerima sejumlah besar pesawat peribadi. Ia dilaporkan diberi status lapangan terbang "antarabangsa" untuk beberapa hari bagi menerima tetamu asing.
Sambutan praperkahwinan kedua mereka pada Mei melibatkan 1,200 rakan, saudara-mara dan tetamu lain, dalam pelayaran empat hari di Mediterranean, dengan persembahan di dalam dan di luar kapal daripada DJ Perancis David Guetta, The Backstreet Boys, penyanyi Amerika Syarikat (AS) Katy Perry dan penghibur lain, menurut laporan media.
Semasa perayaan minggu ini, polis trafik Mumbai akan menyekat akses orang awam ke jalan raya menuju ke Pusat Konvensyen Dunia Jio antara 1 tengah hari hingga tengah malam dari 12 hingga 15 Julai.
Tempat itu yang terletak di daerah komersial yang sibuk di bandar Bandra Kurla Complex, dimiliki oleh konglomerat Ambani.
Polis dalam satu hantaran media sosial pada 5 Julai mengatakan pengaturan itu "disebabkan oleh acara awam", yang mendapat kritikan tajam di media sosial daripada penduduk Mumbai yang mempersoalkan sekatan berkenaan untuk memudahkan sambutan peribadi.
Seorang pengguna dalam hantaran di platform X secara sinis meminta kerajaan mengumumkan hari perkahwinan nasional untuk memperingati majlis itu.
Ramai yang meluahkan kemarahan terhadap kemewahan majlis itu, mempersoalkan bagaimana begitu banyak wang boleh dibelanjakan untuk satu perkahwinan di negara yang ratusan juta penduduknya bergantung kepada catuan kerajaan percuma sebanyak lima kilogram bijirin sebulan.
-- BERNAMA
#perkahwinan mewah #Mukesh Ambani #rakyat india #selebriti antarabangsa #tetamu asing #keluarga ambani