Rakyat Gaza terpaksa pecah masuk gudang PBB
Astro Awani
Oktober 30, 2023 08:30 MYT
Oktober 30, 2023 08:30 MYT
GAZA: Ribuan penduduk Gaza terpaksa memecah masuk ke dalam gudang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil barangan keperluan pada Ahad.
Menurut Agensi Pelarian Palestin PBB (UNRWA), ini menandakan rakyat Palestin telah mencapai 'tahap tekanan tertinggi'.
Salah satu gudang, yang terletak di Deir al-Balah di tengah Gaza, adalah tempat UNRWA menyimpan bekalan dihantar oleh konvoi kemanusiaan yang menyeberang ke Gaza dari Mesir.
Rakaman dari Khan Younis di selatan Gaza menunjukkan sekumpulan lelaki membawa kotak dan beg besar keluar dari gudang, mengangkatnya ke bahu mereka atau memuatkannya ke basikal mereka.
UNRWA berkata, ini adalah petanda yang membimbangkan dengan ketenteraman awam mula rosak selepas tiga minggu perang dan pengepungan ketat ke atas Gaza.
Menurut pengarah komunikasi UNRWA, Juliette Touma, adegan di gudang dan pusat pengedaran menunjukkan putus asa orang ramai.
Ini katanya rakyat Gaza telah mencapai titik kehancuran, kekecewaan dan putus asa yang sangat tinggi.
Bekalan bantuan ke Gaza telah terputus sejak Israel mula mengebom Palestin yang padat dengan penduduk.
Touma berkata, UNRWA terpaksa mengurangkan skala operasi kemanusiaannya di kawasan yang padat penduduknya kerana ia tidak dapat mengagihkan bahan api kepada beberapa kemudahan perubatan.
Beliau berkata, UNRWA tidak menerima sebarang bekalan tambahan pada Ahad.
Jelasnya, bekalan itu sangat, sangat sedikit dan ia tidak sepadan dengan keperluan besar di lapangan.
UNRWA berkata keupayaannya untuk membantu penduduk di Gaza telah terjejas sepenuhnya oleh serangan udara yang telah membunuh berpuluh-puluh kakitangannya dan menyekat pergerakan bekalan.