Rakyat Gaza rasa tersisih di tengah serangan bertalu-talu Israel - Sukarelawan Palestin

Bernama
November 3, 2023 14:49 MYT
Data kerajaan Palestin menunjukkan bahawa lebih 1.5 juta rakyatnya hilang tempat tinggal, dan lebih 200,000 unit kediaman musnah, termasuk 212 sekolah, 52 masjid dan tiga gereja. - Gambar/ Reuters
KUALA LUMPUR: Penduduk di Gaza berasa tersisih di tengah serangan berterusan Israel ke atas wilayah yang terkepung, kata seorang sukarelawan Palestin, Dr Tareq M. Altalmas dan menyeru penyelesaian konkrit untuk mengakhiri "genosid" berkenaan.
Penyelaras Misi Keamanan Global Malaysia (GPM) di pusat kemanusiaan di Gaza itu menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa perlu memberi tumpuan ke arah menghentikan kekejaman Israel melalui usaha diplomasi.
"Malangnya, belum ada tindakan yang jelas dilakukan berhubung perkara ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp pada Khamis.
Tareq berkata ia menyayat hati apabila menyaksikan kain kafan antara barangan yang dibawa oleh masuk trak bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui lintasan Rafah baru-baru ini.
"Ia menyayat hati untuk menghantar kain kafan, (Seolah-olah) mereka menunggu kita mati namun perkara yang paling diperlukan ketika ini ialah kain kafan," katanya sambil menjelaskan bahawa 20 trak yang membawa bantuan kemanusiaan itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan seluruh penduduk Gaza.
"Ini bermakna setiap orang di Gaza akan mendapat 0.0000084 kotak makanan. Pada hari biasa, 500 trak memasuki Gaza, dan sekarang sudah 23 hari berlalu tanpa sebarang bantuan," katanya.
Tareq dan pasukannya memberi tumpuan membekalkan keperluan asas seperti makanan, air, dan kit kebersihan kepada mangsa yang cedera dan mereka yang hilang tempat tinggal di Bandar Gaza, kem pelarian al-Nusairat di tengah-tengah Semenanjung Gaza, dan Khan Yunis di selatan Gaza.
Selain bekalan perubatan, Tareq menekankan bahawa bahan api juga antara keperluan yang mendesak pada masa ini bagi memastikan satu-satunya loji janakuasa elektrik di Gaza terus berfungsi.
Seterusnya ia akan membantu hospital beroperasi, membolehkan kedai roti menghasilkan roti dan membolehkan pusat penapisan air memproses air untuk diminum.
Beliau berkata bahawa sebuah hospital Indonesia telah menutup penjana elektrik utama dan kini bergantung kepada penjana elektrik yang lebih kecil. Ini bermakna hanya sebahagian kecil hospital dapat beroperasi disebabkan kekurangan bahan api.
Operasi pembedahan pula dilakukan di koridor-koridor hospital tanpa keperluan minimum seperti pensterilan alatan bedah atau anestetik.
"Terlalu banyak perkara diperlukan sebenarnya, kami sebagai organisasi kemanusiaan tidak dapat mencari makanan di pasar-pasar untuk dibekalkan kepada pelarian di sekolah-sekolah," katanya.
Tareq juga menekankan keperluan membenarkan lebih ramai mangsa yang cedera masuk ke Mesir bagi menerima rawatan yang lebih baik, kerana hanya sejumlah kecil yang dibenarkan masuk ke negara itu baru-baru ini.
"Pada mulanya, mereka membenarkan kemasukan 80 orang yang cedera, namun 10 daripadanya terpaksa pulang ke Gaza kerana tidak mempunyai pasport. Sebahagian daripada 10 pesakit itu telah meninggal dunia disebabkan kecederaan mereka.
"Ramai mangsa dibawa ke hospital dari kediaman mereka yang telah ranap, jadi kebanyakan pasport berada di bawah runtuhan. Kami mempunyai puluhan ribu pesakit yang cedera dengan sektor perubatan yang lumpuh," katanya.
Tareq berkata serangan udara Israel ke atas kem pelarian Jabalia pada Rabu memburukkan keadaan kerana kem itu menjadi kediaman sementara bagi kebanyakan penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal sejak ia ditubuhkan pada 1648.
Beliau berkata walaupun serangan itu orang ramai kekal berada di kem kerana tiada lagi tempat yang selamat di Gaza dengan operasi darat Israel telah memisahkan Gaza menjadi dua bahagian iaitu selatan dan utara, sekali gus menghalang orang ramai daripada berpindah.
Seramai 9,061 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Okt, dengan lebih 32,000 cedera manakala lebih 2,060 masih hilang, kebanyakannya dipercayai tertimbus di bawah runtuhan..
Data kerajaan juga menunjukkan bahawa lebih 1.5 juta rakyatnya hilang tempat tinggal, dan lebih 200,000 unit kediaman musnah, termasuk 212 sekolah, 52 masjid dan tiga gereja, katanya.
-- BERNAMA
#Perang Palestin-Israel #Gaza #pembunuhan beramai-ramai #GPM
;