Rakyat Gaza derita penyakit bawaan air - EQA
Bernama
Januari 26, 2024 10:45 MYT
Januari 26, 2024 10:45 MYT
RAMALLAH: Sekitar 66 peratus rakyat Palestin di Semenanjung Gaza menghidap penyakit bawaan air seperti taun, cirit-birit kronik dan penyakit usus ekoran kekurangan sumber air bersih dan penutupan semua loji penyahgaraman disebabkan pencerobohan berterusan Israel, menurut Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar (EQA) wilayah itu.
Pengeboman Israel terhadap saluran kumbahan terutama di Loji Sheikh Radwan, mengakibatkan kejadian banjir hingga mencapai tahap kritikal akibat pengumpulan air hujan dan kebocoran sisa kumbahan, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.
EQA dalam satu kenyataan mendedahkan kira-kira 50,000 pokok dan beribu-ribu ekar tanah pertanian, tapak semaian serta kebun turut musnah disebabkan pencerobohan itu hingga membawa kepada pertambahan kawasan gurun, kehilangan biodiversiti, kemerosotan kualiti tanah dan peningkatan pelepasan karbon dioksida.
Pencerobohan itu bukan sahaja menjadi malapetaka kemanusiaan, tetapi turut memusnahkan komponen alam sekitar, menurut EQA. - BERNAMA