Rakyat bosan tidak boleh 'terbang', Lapangan Terbang Changi tawar pakej 'glamping'
Agensi
Januari 1, 2021 12:50 MYT
Januari 1, 2021 12:50 MYT
SELEPAS setahun, hendak ke mana lagi jika anda tinggal di sebuah negara pulau berkeluasan kira-kira 700 kilometer persegi?
Oleh kerana tidak dapat bercuti di luar negara susulan penularan pandemik COVID-19, warga Singapura yang kehabisan tempat untuk melawat sewaktu musim percutian akhir tahun lalu memilih untuk bermalam di lapangan terbang untuk aktiviti 'glamping'.
Glamping yang mendapat nama daripada perkataan bahasa Inggeris 'glamorous camping' atau berkhemah secara mewah semakin mendapat populariti sejak kebelakangan ini dan merupakan aktiviti luar biasa selain berkhemah secara tradisional.
Oleh itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, menawarkan fasiliti khemah mewah yang berhias lampu kelip-kelip yang terletak di bahagian beli belah di lapangan terbang tersebut untuk dinikmati pelanggan yang berminat untuk mencuba aktiviti baharu itu, lapor Reuters.
“Saya selalu akan ke luar negara setiap musim cuti tetapi sejak kami tidak dibenarkan melancong ke luar negara lagi dan kini adalah musim cuti, saya berasa, apa salahnya kalau membuat sesuatu yang berbeza bagi anak-anak,” kata seorang pelanggan pakej, Fadlina Musa.
Bagaimanapun, glamping merupakan sesuatu hobi yang bukan murah.
Seorang pelanggan boleh belanja sehingga 360 dolar Singapura (RM1,095) bagi satu malam di bawah khemah dengan tilam bersaiz sederhana.
Namun, pihak pengurus menawarkan kemudahan bagi pembeli pakej itu untuk melibatkan baucer diskaun untuk membeli-belah, selain menawarkan kotak yang diisi barangan berkelah serta pelbagai alat perhiasan Krismas.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !