Rakyat berhimpun desak perdana menteri Republik Czech letak jawatan

Bernama
Jun 24, 2019 23:00 MYT
Seorang lelaki mengibarkan bendera Republik Czech ketika perhimpunan diadakan di Prague, 23 Jun, 2019. (Foto AP)
Ratusan ribu orang berhimpun di Prague, ibu kota Republik Czech pada Ahad, mendesak Perdana Menteri, Andrej Babis meletak jawatan, lapor agensi berita Xinhua.
Perhimpunan di taman Letna dihadiri lebih 250,000 orang itu, adalah antara beberapa siri bantahan yang tercetus sejak kebelakangan ini terhadap pentadbiran Babis yang berdepan tuduhan kerana konflik kepentingan dan penipuan.
Sambil mengibarkan bendera Republik Czech dan Kesatuan Eropah (EU), peserta perhimpunan melaungkan "Letak Jawatan, Letak Jawatan".
Peserta perhimpunan turut membawa sepanduk yang tertera "Tiada Toleransi untuk Penipuan dan Pembohongan".
Laporan awal EU dikeluarkan media Czech pada Mei lalu, mengatakan Babis mungkin mempunyai konflik kepentingan terhadap subsidi EU, melibatkan bekas empayar perniagaannya Agrofert.
Babis menafikan dakwaan itu dan menuduh EU cuba untuk mengganggu kestabilan Republik Czech.
-- BERNAMA
#Andrej Babis #Bantahan #EU #konflik kepentingan #letak jawatan #penipuan #Perdana Menteri #perhimpunan #Prague #Republik Czech
;