Rakyat Australia mengundi untuk referendum 'Indigenous Voice'

Bernama
Oktober 14, 2023 16:18 MYT
Berjuta-juta rakyat Australia pada Sabtu akan mengundi "ya" atau "tidak" pada cadangan untuk meminda perlembagaan bagi mengiktiraf Orang Asli Australia. - Foto AP
CANBERRA: Pusat pengundian telah dibuka untuk pungutan suara, dengan pengundi akan memutuskan sama ada mahu mewujudkan Suara Orang Asli Australia (Indigenous Voice) atau sebaliknya, lapor Xinhua.
Berjuta-juta rakyat Australia pada Sabtu akan mengundi "ya" atau "tidak" pada cadangan untuk meminda perlembagaan bagi mengiktiraf Orang Asli Australia.
Untuk meminda perlembagaan, undian "ya" mesti memperoleh majoriti berganda, bermakna lebih daripada 50 peratus pengundi di seluruh negara, serta majoriti di sekurang-kurangnya empat daripada enam negeri di Australia, mesti mengundi menyokong.
Terdahulu, Perdana Menteri Anthony Albanese dilaporkan berkata pungutan suara itu adalah peluang bagi Australia untuk berbuat lebih baik dan optimis bahawa majoriti rakyat Australia akan menerima "peluang untuk mencipta sejarah" dengan mengundi "ya."
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Australia (AEC), 6.1 juta pengundi telah mengambil bahagian dalam pengundian awal setakat Jumaat dan 2.1 juta telah memohon undi pos, selebihnya 9.4 juta orang akan mengundi pada Sabtu.
Petugas AEC akan mula mengira undi selepas pusat pengundian ditutup pada 6 petang waktu tempatan pada Sabtu.
Menurut AEC, mengundi adalah wajib bagi rakyat Australia berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar dalam daftar pemilih (kira-kira 17.7 juta orang).
-- BERNAMA
#rakyat Australia #Referendum #Indigenous Voice #pilihan raya #mengundi
;