'Raksasa' makin dekat! Penduduk gusar kemusnahan akibat angin kencang, hujan lebat, banjir

Agensi
September 11, 2018 05:46 MYT
Pembentukan Taufan Florence semakin memuncak, jutaan penduduk siap sedia dibadai hujung minggu ini. - Reuters
Pembentukan Taufan Florence yang sangat digeruni mula menunjukkan peningkatan pada Selasa dan dijangka membawa hujan lebat selama berhari-hari, banjir besar dan menjejaskan bekalan kuasa selama berminggu-minggu.
Reuters melaporkan, taufan itu diramal membadai kawasan tenggara Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini.
Tiupan angin dan gelombang besar dijangka melanda pesisiran pantai di North dan South Carolina pada Jumaat, dan hujan lebat pula akan diterima hingga berbatu-batu jauhnya ke bahagian daratan, ujar Pusat Taufan Kebangsaan AS (NHC).
Kelajuan angin setakat ini dilaporkan sekuat 225 kilometer sejam di beberapa kawasan, sementara ribut sudah mencapai status Kategori 4 dalam skala Saffir-Simpson dan dikhuatiri semakin kuat dan besar.
“Ribut taufan ini adalah raksasa. Ia sangat berbahaya, mengancam nyawa dan boleh dianggap sebagai taufan yang bakal mencatat sejarah,” ujar Gabenor North Carolina Governor Roy Cooper dalam satu wawancara di televisyen tempatan.
Cooper dan rakan sejawatan dari South Carolina dan Virginia mengarahkan kira-kira sejuta orang meninggalkan kediaman di kawasan pesisiran pantai.
Bagi melancarkan proses perpindahan, pihak berkuasa di South Carolina membuka laluan bertentangan untuk dimanfaatkan pengguna lebuh raya.
Penduduk di laluan Taufan Florence diminta bersedia untuk mengalami gangguan bekalan kuasa selama beberapa minggu.
Lebih 700 anggota Palang Merah juga sudah ditempatkan di lokasi tertentu manakala tempat perlindungan sssementara turut dibangunkan untuk digunakan mereka yang tidak dapat berpindah.
Presiden AS Donald Trump yang sebelum ini pernah dikritik tentang cara menangani bencana seumpamanya, pada Selasa telah menandatangani deklarasi darurat bagi North Carolina, South Carolina dan Virginia, selain meluluskan sumber persekutuan untuk bantuan kecemasan.
#banjir #bencana alam #hujan lebat #North Carolina #South Carolina #taufan florence
;