“Rakan seharusnya sokong perang ke atas Iran, bukan cadang sekatan senjata” - Netanyahu bidas Presiden Perancis

Agensi
Oktober 6, 2024 07:20 MYT
Gambar fail menunjukkan Presiden Macron (kiri) dan Perdana Menteri Netanyahu mengadakan sidang media bersama pada 24 Oktober 2023 di Jerusalem. - Gambar Reuters
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron berhubung pada petang Ahad, susulan gesaan Macron untuk mengenakan senjata terhadap Israel.
Netanyahu berkata, Israel mengharapkan rakan-rakannya menyokongnya menentang "paksi keganasan Iran" dan bukannya mengenakan sekatan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya, Netanyahu juga mendakwa, serangan Israel terhadap Hezbollah iaitu kumpulan pejuang yang disokong Iran akan memberi manfaat kepada seluruh wilayah.
Sementara itu, kenyataan pejabat Presiden Perancis, Macron mengulangi sokongannya terhadap keselamatan Israel dan menyatakan solidariti untuk rakyat Israel, terutama mangsa serangan 7 Oktober, tebusan dan keluarga mereka.
Dalam masa sama, beliau juga menyatakan kepentingan perjanjian gencatan senjata.
Macron dan Netanyahu bersetuju bahawa negara mereka akan menyemak semula perbincangan apabila Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot bertemu dengan pegawai Israel pada Isnin, apabila beliau akan
melawat Israel dan Tebing Barat.
Pada Sabtu lalu, Macron telah menggesa penggantungan sepenuhnya penjualan senjata "yang digunakan dalam perang di Gaza," sambil menegaskan Perancis tidak terlibat dalam bekalan mereka.
Netanyahu membalas kenyataan Presiden Perancis itu dengan menyebut adalah “memalukan” bagi Macron dan negara lain yang menyeru sekatan senjata terhadap Israel, sambil menambah: “Adakah Iran mengenakan sekatan senjata ke atas Hezbollah, ke atas Houthi, ke atas Hamas dan proksinya yang lain? Sudah tentu tidak. Paksi keganasan ini berdiri bersama."
Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom telah dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia kerana gagal menggantung penjualan senjata kepada Israel ketika pengebomannya ke atas Gaza telah menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin terbunuh. - Agensi
#Perang Palestin-Israel
;