Rakaman letusan gunung berapi Anak Krakatau sebelum tsunami
Astro Awani
Disember 23, 2018 07:30 MYT
Disember 23, 2018 07:30 MYT
Letusan gunung berapi Anak Krakatau sehari sebelum tsunami yang melanda Selat Sunda berjaya dirakam Agensi Sumber Daya Alam Indonesia.
Bunyi letupan boleh didengar dalam rakaman visual yang menunjukkan api dan asap naik ke langit pada pagi Sabtu.
Seterusnya, lava dilihat mengalir di sisi gunung berapi tersebut.
Gunung berapi itu terletak di Selat Sunda di antara Pulau Jawa dan Sumatera, menghubungkan Lautan Hindi dan Laut Jawa.
Saintis memaklumkan, tsunami pada pagi Ahad itu mungkin disebabkan oleh tanah runtuh di bawah laut, atau di atas paras laut di lereng gunung berapi, susulan letusan itu.
Tsunami yang berlaku tanpa disebabkan gempa bumi itu, setakat jam 4 petang Ahad, merekodkan bilangan mangsa yang terkorban seramai 222 orang, sementara 843 cedera dan 28 masih hilang.
Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.
Jumlah berkenaan dikhuatiri terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat masih belum dapat memasuki semua kawasan yang terjejas akibat tsunami itu.
#cedera
#gempa bumi
#gunung berapi
#hilang
#Indonesia
#letupan
#mangsa
#rakaman visual
#Selat Sunda
#Sutopo Purwo Nugroho
#tanah runtuh
#tsunami