Rakaman CCTV detik-detik akhir Kim Jong Nam disiar media antarabangsa

Madiha Abdullah
Februari 20, 2017 01:35 MYT
Kedua-duanya nampak bergelut seketika namun orang ramai di sekeliling tidak perasan apa yang terjadi.
Sebuah rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan pembunuhan Kim Jong Nam di aras pelepasan, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kini tersebar di media sosial.
Ia menjadi tular selepas media asing menyiarkan rakaman daripada kamera litar tertutup CCTV sejak malam tadi.
Stesen televisyen Jepun, Fuji TV, didakwa merupakan yang pertama menayangkan video tersebut, pada Ahad.
Video berdurasi penuh kira-kira 2 minit 45 saat itu bermula dengan ketibaan Jong Nam di ruang legar balai berlepas lapangan terbang itu, sambil melihat skrin yang memaparkan jadual penerbangan.
BACA: Kronologi pembunuhan Kim Jong Nam
BACA: Apa kita tahu setakat ini
Dia yang memakai sut berwarna kelabu dan membawa beg sandang, kemudiannya mendekati kaunter daftar masuk, sebelum seorang wanita datang menghampirinya dari belakang.
Wanita berambut pendek itu dilihat seolah-olah menekup wajah Kim Jong Nam dari belakang.
Kedua-duanya nampak bergelut seketika namun orang ramai di sekeliling tidak perasan apa yang terjadi.
Apapun, situasi itu berlaku tidak sampai tiga saat, dan wanita berkenaan segera berlalu dari situ.
Jong Nam kemudiannya mendekati petugas keselamatan untuk membuat aduan tentang kejadian itu dan meminta bantuan.
Ketika itu, Jong Nam masih kelihatan sihat dan mampu berjalan seperti biasa.
Dia diiringi seorang anggota polis dan petugas lapangan terbang ke klinik untuk mendapatkan rawatan, sebelum dia akhirnya rebah.
BACA: Pembunuhan Jong Nam: Polis menahan seorang lagi suspek, warga Korea
BACA: Empat suspek pembunuhan Kim Jong Nam telah meninggalkan negara ini - Polis
BACA: Bekas perisik Korea Utara sifatkan suspek pembunuhan Kim Jong Nam hanya amatur
BACA: Korea Utara tidak puas hati terhadap PDRM, Wisma Putra
#kim jong nam #KLIA2 #Pembunuhan