'Rajwa adalah jawapan sempurna kepada doa saya' - Permaisuri Rania

Astro Awani
Mei 24, 2023 09:00 MYT
Permaisuri Rania (kiri) berjalan beriringan dengan bakal menantunya, Rajwa Khaled bin Musaed bin Saif bin Abdulaziz Al Saif. - Foto Instagram/@queenrania
AMMAN: Kegembiraan Permaisuri Rania dari Jordan untuk menerima kehadiran bakal menantu tidak dapat disembunyikan lagi.
Portal berita Saudi Gazzete melaporkan, sebagai bonda kepada Putera Mahkota Al Hussein Abdullah yang bakal disatukan dengan Rajwa Khaled bin Musaed bin Saif bin Abdulaziz Al Saif, Permaisuri Rania bersyukur doanya dimakbulkan oleh Allah SWT.
Rajwa disifatkan Permaisuri Rania sebagai pengantin yang paling manis dan cantik di matanya.
“Rajwa adalah jawapan yang sempurna kepada segala doa saya untuk Putera Mahkota Hussein,” kata Permaisuri Rania semasa berucap pada majlis berinai yang dianjurkannya untuk bakal menantu baginda yang berasal dari Arab Saudi pada Isnin lalu.
Rajwa dan Putera Hussein iaitu putera sulung Raja Jordan, Raja Abdullah II dan Permaisuri Rania
mengikat tali pertunangan tahun lalu dan perkahwinan mereka akan diadakan pada 1 Jun ini di Amman.
Permaisuri Rania juga berkata, seorang anak perempuan biasanya mencerminkan keperibadian ibunya yang juga bakal besannya, Azza yang digambarkan baginda sebagai ‘permata.’
Mendengar ucapan bakal bonda mertuanya itu, Rajwa dilihat menyeka matanya.
"Saya tidak akan melupakan betapa gembiranya Baginda (Raja Abdullah II) dan saya apabila Al-Hussein memberitahu kami dia ingin berkahwin dengan Rajwa. Dia adalah jawapan yang sempurna kepada segala doa saya untuknya," kata Permaisuri Rania.
Kepada bakal menantunya pula, Permaisuri Rania menitipkan doa: "Insya-Allah, ya Allah, semoga Allah menjadikan kamu bahagia, memberimu kejayaan dan menjaga kamu berdua bersama-sama. Dan Insya-Allah, kamu akan sentiasa menyokong dan melengkapi kegembiraan antara satu sama lain."
Buat putera sulungnya, baginda berkata: "Hari ini, saya melihat Hussein. Saya melihat di hadapan saya seorang tentera muda yang berani, yakin dengan dirinya sendiri, dan kuat. Saya melihat bagaimana dia seperti ayahandanya.
“Saya melihat bagaimana dia melayan bakal isterinya dan merancang perkahwinannya. Dia mahu majlis pernikahannya melibatkan penyertaan masyarakat Jordan, bukan hanya pada acara, bahkan semasa persiapan dijalankan. Beliau adalah seorang anak muda yang sedar dan tahu beliau adalah salah seorang daripada kalian,” kata Permaisuri Rania lagi.
Pada acara berinai itu juga, Permaisuri Rania menyambut kehadiran tetamu dengan menzahirkan kegembiraan baginda.
“Saya gembira bahawa anda semua di sini untuk berkongsi kegembiraan kami. Hari ini adalah hari istimewa bagi kami dan seluruh keluarga Jordan.
“Kegembiraan kami adalah sama... dekat atau jauh, anda semua ada di hati kami hari ini."
Majlis tersebut dihadiri oleh sejumlah besar kerabat diraja Jordan; ibu pengantin perempuan, Azza Al-Sudairi serta kaum keluarga dan rakan-rakan terdekat dari Jordan dan Arab Saudi.
#Permaisuri Rania #Putera Mahkota Al Hussein Abdullah #Rajwa Khaled #pernikahan diraja Jordan
;