Raja Vajiralongkorn secara rasmi ditabal sebagai Raja Thailand

Bernama
Mei 4, 2019 19:48 MYT
Raja Maha Vajiralongkorn ketika melawat kuil Emerald Buddha mengisytiharkan dirinya sebagai Penaung Diraja Buddhism, di Bangkok, 4 Mei, 2019. (Thai TV Pool via AP)
Raja Maha Vajiralongkorn secara rasmi ditabalkan sebagai Raja ke-10 Dinasti Chakri yang berusia seabad dalam istiadat pertabalan yang gilang-gemilang mengikut keagamaan Hindu dan Buddha di sini hari ini.
Acara pertabalan selama tiga hari bermula hari ini pada jam 10.09 pagi (waktu tempatan) di Kediaman Diraja Chakrabat Biman di Istana Besar di sini.
Raja Vajiralongkorn yang diiringi Permaisuri Suthida berangkat tiba di istana Besar pada jam 10 pagi.
Istiadat yang bersejarah dan yang pertama dalam tujuh dekad itu bermula dengan Upacara Penyucian Diraja yang juga dikenali sebagai "Song Muratha Bhisek."
Baginda yang memakai jubah putih, duduk di bawah pancutan air yang diambil dari 77 wilayah di negara itu yang disucikan oleh sami-sami Buddha. Air suci itu kemudian disiram perlahan ke kepala baginda.
Serentak itu, Pengawal Diraja melepaskan tembakan di perkarangan Diraja - Sanam Luang, dekat Istana Besar semasa upacara penyucian berlangsung.
Sami tertinggi Buddha juga menyiram air suci ke tubuh baginda diikuti oleh sami-sami Brahmin dan anggota kerabat diraja.
Kemudian, Raja Vajiralongkorn duduk di atas singgah-sana ukiran kayu untuk menerima air suci daripada pegawai-pegawai terpilih termasuk Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha dan presiden Majlis Privy Jen Prem Tinsulanonda.
Baginda seterusnya berangkat ke the Balairung Seri Bhadrapitha untuk upacara pemakaian mahkota.
Baginda duduk di bawah payung diraja berwarna putih dan Ketua sami Brahmin mempersembaghkan Plak Emas Diraja kepada baginda yang mengandungi nama , gelaran dan horoskop serta mohor diraja serta alat-alat kebesaran diraja.
Baginda secara rasmi ditabalkan apabila Mahkota Keagungan diperbuat daripada emas seberat 7.3 kilogram bertatahkan permata dipakaikan pada kepala baginda pada upacara itu.
Raja Vajiralongkorn, 66, juga dikenali dengan gelaran Raja Rama X, kemudian menerima daripada ketua Brahmin berupa pakaian kebesaran diraja termasuk selipar diraja, kipas diraja, pedang diraja dan cogan alam diraja.
Ketika menyampaikan titah ucapan pertama baginda, Raja Vajiralongkorn bertitah "Beta akan mempertahankan, memelihara dan akan memerintah dengan penuh kebenaran demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat buat selama-lamanya".
Baginda juga berkenan mengumumkan gelaran diraja sepenuhnya kepada Permaisuri Suthida. Raja Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida mengikat tali perkahwinan tiga hari sebelum istiadat pertabalan.
Baginda dijangka menerima menghadap anggota kerabat diraja, Majlis Privy Council dan kabinet serta para pegawai kanan di Dewan Singgahsana Amarindra Vinicchaya.
Raja Vajiralongkorn ialah yang kedua daripada empat cahaya mata mendiang Raja Bhumibol dan Permaisuri Sirikit, dan satu-satunya putera tunggal.
Baginda menjadi raja berperlembagaan selepas kemangkatan ayahanda baginda, Raja Bhumibol Adulyadej pada Oktober 2016. Mendiang Raja Bhumibol memerintah selama 70 tahun.
-- BERNAMA
#Buddha #Hindu #kerabat #perkahwinan #Permaisuri Suthida #Pertabalan #Prayuth Chan-o-cha #Raja Maha Vajiralongkorn #sami #Thailand #upacara penyucian
;