Raja Thailand semakin pulih selepas pembedahan jantung

Astro Awani
Jun 13, 2016 15:52 MYT
Dalam kenyataan rasmi itu, Raja Bhumibol memberikan tindak balas positif berdasarkan tekanan darah dan kadar pernafasannya yang kembali normal. -Gambar fail
Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, 88 tahun, menunjukkan tanda positif selepas menjalani pembedahan bagi meningkatkan kadar aliran darah dalam jantung.
Khabar mengenai tahap kesihatan Raja Bhumibol itu dimaklumkan oleh pihak istana lewat petang semalam.
Para doktor yang terlibat memberitahu operasi pembedahan menggunakan prosedur angioplasti tanpa anestetik, yang menggunakan ‘belon’ dan sten ureter untuk melebarkan arteri darah jantungnya.
Dalam kenyataan rasmi itu, Raja Bhumibol memberikan tindak balas positif berdasarkan tekanan darah dan kadar pernafasannya yang kembali normal.
Alat elektrokardiogram yang dipasang juga merekodkan pada jajaran bacaan yang positif.
Raja Bhumibol jarang dilihat dan sentiasa menggunakan kerusi roda, serta sudah dua tahun terpaksa menerima rawatan di hospital.
Antara komplikasi penyakit yang dihidapinya termasuk jangkitan bakteria, masalah pernafasan dan hidrosefalus (keadaan disebabkan peningkatan isi padu cecair serebrospina dan seterusnya mengakibatkan pengembangan ventrikel otak).
Khabar mengenai tahap kesihatan raja paling lama memerintah di Thailand ini juga jarang dilaporkan kerana dikawal oleh pihak Istana.
Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, beberapa kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung perkara itu.
Minggu lalu, baginda dilaporkan selamat menjalani rawatan hidrosefalus dan juga rawatan bagi jangkitan pada paru-paru dan lutut.
#angioplasti #kadar aliran darah dalam jantung #Raja Bhumibol Adulyadej #Raja Thailand
;