Raja Thailand beri pengampunan kepada banduan

Bernama
Mei 3, 2019 06:20 MYT
Raja Vajiralongkorn secara rasmi akan ditabalkan sebagai raja ke-10 dinasti Chakri pada Sabtu selepas menaiki takhta berikutan kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada 2016. - Foto Reuters
Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn memberi pengampunan dan meringankan hukuman bagi banduan-banduan tertentu sempena pertabalan baginda pada Sabtu.
Dekre diraja berhubung pengampunan diraja telah diterbitkan di Royal Gazette pada Jumaat. Ia berkuatkuasa pada Sabtu.
Akhbar Bangkok Post melaporkan bahawa banduan tersebut termasuk banduan yang menunggu untuk menjalani hukuman mati serta pesalah yang diletakkan dalam pengawasan (probation).
"Ini adalah peluang bagi banduan untuk menjadi warga negara yang baik," kata harian berbahasa Inggeris itu.
Ia berkata mereka yang diberi pengampunan termasuk banduan yang dikurung, pesalah yang melakukan khidmat awam dan bukan denda, mereka dalam tempoh probation, banduan yang mempunyai tempoh setahun atau kurang sebelum selesai menjalani hukuman, atau banduan yang mengalami kecacatan dan penyakit yang serius, seperti kanser dan AIDS.
"Banduan yang dijatuhi hukuman mati akan menjalani hukuman penjara seumur hidup," katanya.
Pihak berkuasa berkaitan belum mengumumkan bilangan banduan yang mendapat manfaat daripada pengampunan diraja kerana ia bergantung pada setiap penjara.
Raja Vajiralongkorn secara rasmi akan ditabalkan sebagai raja ke-10 dinasti Chakri pada Sabtu selepas menaiki takhta berikutan kemangkatan ayahandanya, Raja Bhumibol Adulyadej pada 2016. -- Bernama
#pengampunan #Pertabalan #RAJA #Raja Maha Vajiralongkorn #Thailand
;