Raja Norway kian pulih, masih dirawat di Langkawi
Ridauddin Daud
Februari 29, 2024 23:48 MYT
Februari 29, 2024 23:48 MYT
KUALA LUMPUR: Doktor kepada Raja Norway, Raja Harald V memaklumkan bahawa baginda kini semakin pulih namun kini masih dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Pulau Langkawi.
Istana Norway menerusi kenyataan pada Khamis memaklumkan, Raja Harald akan berada di hospital tersebut untuk beberapa hari lagi dan dijaga dengan baik di hospital tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, tumpuan sekarang ialah memastikan Raja boleh pulang ke Norway dengan menaiki kapal terbang dalam beberapa hari akan datang.
Kerajaan Norway akan mengatur pergerakan pulang Raja ke negara tersebut dan tentera Norway akan mengetuai usaha membawa pulang Raja Harald ke negara asal.
Astro AWANI pada Selasa lepas melaporkan Raja Harald dikejarkan ke hospital selepas dilaporkan mengalami jangkitan.
Difahamkan, Baginda yang berusia 87 tahun diberikan rawatan berkaitan masalah respiratori serta jantung.