Raja Norway Harald V selamat mendarat di Oslo menaiki penerbangan evakuasi dari Malaysia

Astro Awani
Mac 4, 2024 18:53 MYT
Raja Harald V tiba di Oslo menaiki penerbangan evakuasi milik Tentera Norway selepas menjalani prosedur implan perentak jantung di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi. - Foto Reuters
OSLO: Raja Norway, Raja Harald V selamat mendarat di Oslo menaiki penerbangan evakuasi milik Tentera Norway selepas menjalani prosedur implan perentak jantung di Hospital Sultanah Maliha di Langkawi.
Baginda dijangka akan menjalani rawatan lanjut di Rikshospitalet, Oslo.
Menurut kenyataan Istana Norway, baginda akan berada di hospital beberapa hari untuk menjalani rawatan susulan itu.
Kenyataan itu berkata, susulan itu, baginda akan bercuti sakit selama dua minggu, dan dalam tempoh itu, Putera Mahkota akan bertindak sebagai pemangku raja dan memikul tugas baginda.
Pesawat khas Boeing 737 itu menempatkan 18 katil hospital dan 39 katil biasa.
Pada masa sama, pesawat itu juga boleh digunakan untuk tujuan komersial bagi menerbangkan penumpang.

The plane bringing King Harald home is a Scandinavian Airlines Boeing 737 that is built to have 18 hospital beds in combination with 39 regular beds. It can also be a regular passenger plane. The plane is owned by Forsvaret (The Armed Forces) pic.twitter.com/Ef4qixSN9l

— Celina (@NorwayRoyals) March 3, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini, Raja Harald dilaporkan menjalani prosedur implan perentak jantung berikutan kadar denyutan jantung baginda yang lemah seperti yang disahkan oleh doktor peribadi baginda, Bjorn Bendz.
Pada 28 Februari lalu, baginda menerima rawatan di Langkawi selepas gering ketika bercuti di Malaysia.
Media sebelum ini yang memetik doktor peribadi baginda, Bjorn Bendz, sebagai berkata, Raja Norway itu dalam keadaan baik namun masih memerlukan rehat.
Katanya, prosedur itu menjadikan usaha membawa pulang baginda ke Norway menjadi lebih selamat.
Terdahulu, pada Disember, baginda Raja Harald V dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dan dirawat dengan antibiotik intravena.
Baginda yang dilihat menggunakan tongkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung pada Oktober 2020 selepas dimasukkan ke hospital akibat kesukaran bernafas.
Tugas Harald V adalah sebagai Ketua Negara Norway bagi majlis dan upacara rasmi negara selain baginda tidak mempunyai kuasa politik.
#Raja Harald V #Raja Norway #rawatan jantung #Hospital
;