Raja Maori New Zealand, Raja Tuheitia meninggal dunia pada usia 69 tahun

Astro Awani
Ogos 30, 2024 08:00 MYT
Raja Tuheitia menaiki takhta pada tahun 2006 dari ibunya Ratu Dame Te Atairangikaahu. - Foto X/Maiki Sherman
WELLINGTON: Raja Maori New Zealand, Raja Tuheitia Pootatau Te Wherowhero VII meninggal dunia pagi Jumaat pada usia 69 tahun, menurut kenyataan yang dikeluarkan wakilnya.
"Kemangkatan Raja Tuheitia merupakan detik sangat sedih untuk pengikut Te Kiingitanga, Maoridom dan seluruh negara," kata jurucakap Rahui Papa dalam catatan di akaun media sosial.
Katanya sebelum ini Raja Tuheitia menerima rawatan di hospital susulan pembedahan jantung beberapa hari selepas meraikan ulang tahun ke-18 upacara kemahkotaan baginda.
Raja Tuheitia menaiki takhta pada tahun 2006 dari ibunya Ratu Dame Te Atairangikaahu.
Susulan kemangkatannya, raja baharu akan dilantik oleh ketua-ketua suku kaum (King Movement) pada hari pengebumian Raja Tuheitia, menurut Radio New Zealand.
Raja Maori dianggap sebagai ketua kepada beberapa suku kaum di New Zealand, atau iwi.
Peranannya hanya mengikut adat istiadat sahaja dan tiada kuasa dalam sistem kehakiman atau dari sisi undang-undang di New Zealand.
King Movement ini ditubuhkan pada tahun 1858 dalam usaha untuk menyatukan kesemua suku kaum di New Zealand di bawah satu ketua.
Penyatuan suku kaum di negara itu dilakukan bagi menentang dasar penjajahan negara barat.
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkata dalam satu kenyataan, tempoh berkabung akan diisytiharkan bagi menghormati kemangkatan Raja Tuheitia.
Media tempatan melaporkan jasad Raja Tuheitia akan dibawa ke tempat kelahiran baginda iaitu di Turangawaewae marae, dan upacara pengebumian dijangka mengambil masa lima hari.
#Raja Tuheitia Pootatau Te Wherowhero VII #meninggal dunia #raja Maori #pembedahan jantung