Raja Maghribi Mohammed VI arah bantuan kemanusiaan untuk Palestin
Bernama
Mac 13, 2024 18:13 MYT
Mac 13, 2024 18:13 MYT
KUALA LUMPUR: Raja Maghribi Mohammed VI telah mengarahkan penghantaran bantuan makanan kemanusiaan untuk penduduk Palestin di Gaza dan Kota Suci Baitulmaqdis atau al-Quds.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Kerjasama Afrika dan Ekspatriat Maghribi pada Rabu, lebih 40 tan bahan makanan termasuk makanan asas disumbangkan untuk penduduk Gaza.
Menurut kementerian berkenaan, Raja Mohammed VI, yang juga Pengerusi Jawatankuasa al-Quds telah memberi arahan kepada Agensi Bayt Mal al-Quds untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk kota suci itu.
"Sebanyak 2,000 bakul makanan untuk 2,000 keluarga al-Quds akan diagihkan dan 1,000 makanan akan dihidangkan setiap hari untuk rakyat Palestin di bandar itu," menurut kenyataan tersebut sambil menambah bantuan berkenaan turut menyediakan bilik koordinasi di Hospital Jerusalem.
Menurut kementerian itu, operasi kemanusiaan untuk penduduk Palestin mencerminkan komitmen dan keprihatinan Raja Mohammed VI untuk perjuangan Palestin.
"Bantuan ini yang bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan yang mulia, bertujuan meringankan penderitaan penduduk Palestin," menurut kementerian itu.
-- BERNAMA