Raja Jordan desak Israel benar lebih banyak bantuan ke Gaza
Astro Awani
Disember 1, 2023 08:15 MYT
Disember 1, 2023 08:15 MYT
AMMAN: Raja Jordan, Abdullah gesa pegawai bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan antarabangsa untuk tingkatkan tekanan ke atas Israel bagi membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza.
Perkara itu dizahirkan Raja Abdullah semasa mesyuarat tergempar di Amman bersama pegawai PBB, badan bukan kerajaan (NGO) barat dan wakil penderma Arab, pada Khamis.
Raja Abdullah berkata, tindakan Israel terus menahan aliran bantuan ke Gaza adalah tidak boleh diterima.
Selain itu, baginda turut menggesa komuniti bantuan antarabangsa untuk melakukan yang terbaik dan menyelamatkan rakyat Gaza yang mengalami perang kejam.
Gencatan senjata sementara antara Israel dan Hamas membolehkan lebih banyak bantuan masuk ke wilayah berpenduduk padat dengan 2.3 juta orang dalam tempoh enam hari lalu.
Tetapi penghantaran bantuan termasuk makanan, air, bekalan perubatan dan bahan api kekal tidak mencukupi.
Bekalan bantuan diterbangkan dan dihantar ke semenanjung Sinai, Mesir untuk dihantar ke Gaza melalui persimpangan Rafah, susulan keengganan Israel membenarkan sebarang bantuan masuk melalui sempadannya.