Raja Charles tiba di Jerman, negara pertama dilawati
Astro Awani
Mac 30, 2023 08:40 MYT
Mac 30, 2023 08:40 MYT
BERLIN: Raja Charles III berikrar untuk melakukan segala usaha untuk mengukuhkan hubungan antara United Kingdom (UK) dan Jerman.
Titah baginda itu dinyatakan dalam lawatan negara pertamanya ke Jerman sejak menaiki takhta tahun lepas.
Baginda disambut dengan penghormatan ketenteraan di Gerbang Brandenburg di Berlin ketika memulakan lawatannya ke Jerman.
Lawatan itu sebahagian daripada usaha untuk menetapkan semula hubungan Britain dengan Eropah selepas keluar dari Kesatuan Eropah (EU) pada tahun 2020.
Kata Raja Charles dalam ucapannya, baginda terpesona dengan kemesraan antara UK dan Jerman malah memuji negara itu sebagai bermurah hati kerana menerima lebih daripada sejuta pelarian Ukraine.
Dalam fokus berterusannya pada kemampanan, Raja Charles memuji kepakaran Jerman dalam pertanian organik.
Raja Charles menggantikan bondanya Ratu Elizabeth II selepas mangkat pada usia 96 tahun, September lalu.
Baginda sepatutnya melakukan perjalanan pertama ke Perancis tetapi membatalkan bahagian lawatan itu disebkan faktor pergolakan sosial di sana.
Sepanjang lawatan tiga hari ke Berlin, Brandenburg dan Hamburg, Raja Charles akan menghadiri pertemuan yang mencerminkan isu yang dihadapi kedua-dua negara seperti kelestarian alam sekitar dan krisis Ukraine.