Raja Charles, Permaisuri Camilla akan lawat Australia - PM
Bernama
Julai 15, 2024 16:40 MYT
Julai 15, 2024 16:40 MYT
CANBERRA: Raja Britain Charles III dan Permaisuri Ratu Camilla akan melawat Australia pada Oktober, disahkan oleh Perdana Menteri Australia Anthony Albanese, lapor Xinhua.
Albanese pada Isnin berkata beliau dan Gabenor Jeneral Sam Mostyn akan menyambut ketibaan pasangan diraja itu ke Australia pada Oktober untuk lawatan pertama Charles III ke negara itu sebagai pemerintah.
Ini menandakan lawatan pertama ke Australia oleh raja British yang memerintah sejak Ratu Elizabeth II melawat Canberra, Brisbane, Melbourne dan Perth pada 2011.
Sebelum pertabalannya, Raja Charles telah melawat Australia sebanyak 15 kali dalam kapasiti rasmi - yang terbaru pada 2018 semasa Sukan Komanwel diadakan di Gold Coast.
Albanese berkata dalam satu kenyataan bahawa persiapan sedang dijalankan untuk raja dan permaisuri melawat Wilayah Ibu Negara Australia dan New South Wales.
"Saya berbesar hati untuk menyambut raja dan permaisuri pada lawatan diraja pertama mereka ke Australia pada Oktober ini," katanya.
Sejajar dengan pengumuman lawatan itu, kerajaan persekutuan pada Isnin mengeluarkan potret rasmi raja dan permaisuri Australia, iaitu Raja Charles memakai lencana kedaulatan Order of Australia dan Ratu Camilla memakai kerongsang yang dihadiahkan kepada Ratu Elizabeth II semasa lawatan pertamanya ke Australia pada 1954.
Selepas melawat Australia, raja dan permaisuri akan menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Samoa.
Istana Buckingham berkata dalam satu kenyataan bahawa pasangan diraja itu tidak akan melawat New Zealand atas sebab kesihatan selepas Raja Charles didiagnosis dengan sejenis kanser yang tidak didedahkan pada awal 2024.
-- BERNAMA