Raja Charles III sayu di sisi keranda ibu, beri penghormatan terakhir selama 10 minit

Faida Rahim
September 13, 2022 11:30 MYT
Raja Charles III bersama Puteri Anne, Putera Edward, dan Putera Andrew beri penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II. -REUTERS
EDINBURGH: Raja Charles III memberi penghormatan terakhir di samping keranda ibunya Ratu Elizabeth II dalam suasana penuh emosi di Katedral St Giles, di sini, petang Isnin waktu tempatan.
Memetik laporan Mail Online, Raja Charles III bersama adik beradiknya Puteri Anne, Putera Edward, dan Putera Andrew berdiri diam selama 10 minit sebagai penghormatan terakhir kepada mendiang Ratu Elizabeth II.
Raja Charles III yang ditabal sebagai Raja baharu Britain itu dilihat mengenakan seragam kehormat tentera bersama dengan kain tartan (pakaian tradisional direka untuk lelaki di Scotland) yang diberi nama khas, Tartan Putera Charles Edward Stuart.
Menurut sumber dari Jabatan Pendaftaran Reka Bentuk Tartan Scotland, kain tartan khas yang disarung Raja Charles III itu merupakan dari koleksi Diraja Tartan Stewart.
Kain Tartan mula diguna secara meluas sejak pemerintahan Raja George VI yang menyarung kain tartan semasa lawatan pertama ke Scotland pada tahun 1822.
Sementara itu, ribuan penduduk Britain berada di luar gereja untuk memberikan penghormatan terakhir sepanjang malam.
Ratu Elizabeth II menghembuskan nafas terakhir di rumah percutian di Balmoral, Scotland, Khamis lalu sebelum kerandanya di bawa ke Gereja St Giles. - Agensi.
#Raja Charles III #Ratu Elizabeth II #Kain tartan #Katedral St Giles
;