Raja Charles III perbaharui pengabdian Ratu Elizabeth II, ikrar berkhidmat seumur hidup
Astro Awani
September 9, 2022 01:40 MYT
September 9, 2022 01:40 MYT
LONDON: Raja Charles III menyampaikan titah pertamanya selaku raja Britain pada tengah hari Jumaat, waktu tempatan, sehari selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Menerusi ucapan berkenaan, Raja Charles memperbaharui ikrar untuk berkhidmat seumur hidup, seperti mana yang pernah diucapkan oleh bondanya pada 1947.
"Seperti yang Ratu sendiri lakukan dengan pengabdian yang tidak berbelah bahagi, saya juga kini sesungguhnya berjanji pada diri saya sepanjang hidup saya, dengan rahmat Tuhan, untuk menegakkan prinsip perlembagaan di negara kita,” titah jRaja Charles.
"Di mana sahaja anda tinggal di United Kingdom atau di alam dan wilayah di seluruh dunia dan apa jua latar belakang dan kepercayaan anda, saya akan berusaha untuk berkhidmat dengan kesetiaan, dengan hormat dan kasih sayang, seperti yang saya lakukan sepanjang hidup saya," titah baginda menerusi siaran yang dipancarkan dari Istana Buckingham, London.
Putera sulung Ratu Elizabeth itu juga mengenang keperibadian bondanya yang berjaya mengemudi pemeritahan tatkala dalam perubahan zaman.
"Sepanjang kehidupan baginda Ratu berkhidmat, kami melihat kecintaan terhadap tradisi dengan merangkum era kemajuan tanpa rasa gentar, malah pendekatan inilah yang menjadikan kita hebat sebagai sebuah negara. Kasih sayang, kekaguman dan rasa hormat yang diilhamkan oleh baginda mengambarkan ciri pemerintahan baginda.
"Dan, seperti yang boleh disaksikan oleh setiap ahli keluarga saya, baginda menggabungkan sifat-sifat ini dengan kemesraan, jenaka dan kemampuan untuk sentiasa melihat yang terbaik dalam diri seseorang,” titah Raja Charles lagi.
Terdahulu, baginda diiringi Permaisuri Camilla, berangkat ke pintu Istana Buckingham dan menyapa rakyat jelata yang hadir bagi memberikan penghormatan kepada Ratu Elizabeth.
Baginda turut memaklumkan bahawa putera sulung baginda Putera William akan dilantik sebagai Prince of Wales dan percaya beliau akan terus memberi inspirasi dan memimpin perbualan nasional di Britain, tatkala memperjuangkan nasib golongan yang tersisih.