Raja Charles III dibenar keluar hospital selepas jalani rawatan prostat
Astro Awani
Januari 30, 2024 08:45 MYT
Januari 30, 2024 08:45 MYT
LONDON: Raja Britain, Raja Charles III dan menantunya, Kate Middleton, kedua-duanya dibenarkan keluar dari hospital pada Isnin selepas menjalani rawatan.
Raja Charles III, 75, yang telah menghabiskan tiga malam di hospital selepas menjalani 'prosedur pembetulan' pembesaran prostat, tersenyum dan melambai kepada orang ramai ketika baginda meninggalkan pusat perubatan ditemani isterinya, Ratu Camilla.
Beberapa jam sebelum itu, Kate juga pulang ke rumah selepas menghabiskan dua minggu di hospital swasta yang sama selepas pembedahan perut.
Dalam satu kenyataan, Istana Buckingham berkata, Raja Charles III berterima kasih kepada pasukan perubatannya dan kepada semua pengunjung yang menziarahi baginda di hospital sepanjang tempoh rawatan.
"Raja Charles III telah keluar dari hospital petang ini berikutan rawatan perubatan yang dirancang dan telah menjadualkan semula pertemuan awam yang akan datang untuk membolehkan tempoh pemulihan peribadi," kata Istana Buckingham.
Sementara itu, Kate, 42, yang juga isteri pewaris takhta Britain, Putera William juga menunjukkan perkembangan yang baik, kata pejabat Istana Kensingtonnya.
Kate dilaporkan sudah kembali ke kediamannya di Windsor.
Keluarga diraja Britain biasanya menganggap semua isu perubatan sebagai urusan peribadi, namun, Raja Charles III memilih untuk menghebahkan keadaannya untuk menggalakkan lelaki lain menjalani pemeriksaan kesihatan.
Perkhidmatan Kesihatan Negara yang dikendalikan kerajaan berkata, terdapat peningkatan 1,000 peratus pengunjung ke laman webnya yang memberi nasihat mengenai pembesaran prostat sejak diagnosis Raja Charles III didedahkan.
Kate tidak akan kembali melakukan tugas-tugasnya sehingga selesai perayaan Hari Easter, sementara suaminya, Putera William juga telah menangguhkan semua urusan rasmi beliau kerana mahu memberi perhatian menjaga tiga anak mereka, Putera George, 10, Puteri Charlotte, 8, dan Putera Louis, 5.