Raja Arab Saudi seru warga dunia bantu hentikan jenayah terhadap rakyat Palestin
Agensi
Mac 10, 2024 07:00 MYT
Mac 10, 2024 07:00 MYT
RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman menyeru seluruh masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab dan menghentikan jenayah serta kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin.
Dalam ucapan yang disampaikan bagi pihaknya oleh Menteri Media Salman Al-Dosari menjelang Ramadan pada Ahad, Raja Salman berkata, penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin merobek hati baginda.
Raja Salman turut menekankan keperluan koridor kemanusiaan yang selamat.
Dalam masa sama, Raja Salman menzahirkan kesyukuran kepada Allah kerana memberkati kerajaan yang menjaga dua masjid suci serta membenarkan, membangunkan dan melayani jutaan jemaah dan pengunjung.
Raja Salman tidak ketinggalan menzahirkan penghargaan kepada tentera Saudi yang ditempatkan di sempadan, semua anggota tentera dan keselamatan serta kakitangan sektor awam atas dedikasi mereka untuk berkhidmat kepada negara mereka.
Baginda juga berdoa semoga Allah melimpahkan kesejahteraan dan keberkatan kepada umat Islam dan seluruh dunia pada bulan yang mulia ini. - Agensi