Rahsia wanita simpan mayat suami dalam peti sejuk selama 11 tahun terbongkar
Afiezy Azaman
November 28, 2019 12:31 MYT
November 28, 2019 12:31 MYT
KEMATIAN seorang wanita warga emas membongkar satu rahsia yang dipendam sejak sekian lama.
Jeanne Souron-Mathers, 75, ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Utah, Amerika Syarikat selepas kelibatnya tidak kelihatan lebih dua minggu oleh pekerja penyelenggaran bangunan.
Pemeriksaan oleh pegawai kebajikan menemukan mayat Jeanne di dalam rumah.
Namun kunjungan mereka menemukan satu lagi perkara yang lebih mengejutkan - mayat suami Jeanne disumbat dalam peti sejuk.
Menurut Sarjan Jeremy Hansen, kematian Jeanne bukan kes jenayah, namun kematian suami wanita itu mengundang curiga.
“Mayat lelaki itu dikenal pasti sebagai suami Jeanne bernama Paul Edwards Mathers, 69.
“Mayat suaminya dijumpai di dalam peti sejuk bahagian beku yang disimpan di dalam rumah.
“Polis setakat ini tidak mengetahui bagaimana kematian suaminya, sama ada isterinya terlibat atau tidak, namun mengesyaki sesuatu telah terjadi,” katanya memetik laporan Associated Press.
Berdasarkan keterangan beberapa saksi di kejiranan itu, mereka telah lama tidak melihat suaminya itu. Mengikut perkiraan mereka, Paul Edwards telah 'menghilangkan diri' sejak 11 tahun lalu.
Hansen berkata pemeriksaan awal mendapati tiada kesan trauma ditemukan pada tubuh Jeanne.
Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke hospital untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Jeanne tinggal di pangsapuri itu sejak 2007 di bandar Tooele yang terletak kira-kira 25 batu dari selatan Salt Lake City.
#11 tahun
#Associated Press
#Jeanne Souron Mathers
#Jeremy Hansen
#Paul Edwards Mathers
#peti sejuk
#Salt Lake City
#Tooele