Rahsia nikah enam wanita terbongkar
Sinar Harian
Disember 1, 2022 06:00 MYT
Disember 1, 2022 06:00 MYT
PATNA: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.
Itulah yang terjadi ke atas seorang lelaki hidung belang di negeri Bihar, India apabila rahsianya mengahwini enam wanita terbongkar.
Rahsia yang disimpan rapi selama ini terbongkar selepas kasanova berusia 50 tahun itu dilihat bersama wanita lain di Stesen Kereta Api Jamui di Mallehpur.
Individu yang berjaya menghidu hubungan sulit lelaki tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah abang iparnya sendiri.
Lapor New Indian Express memetik jurucakap polis di Jamui menyebut bahawa kasanova itu dikenali sebagai Chhotu.
"Chhotu ditangkap oleh abang kepada isteri keempatnya sekali gus menamatkan rentetan penipuan dan kecurangannya.
"Dia kemudian diserahkan kepada polis, namun dibebaskan kerana kes itu dianggap sebagai masalah keluarga," kata pegawai yang enggan dinamakan.
Difahamkan, Chhotu adalah penyanyi Okestra Maa Sharda yang berpangkalan di bandar Deoghar di negeri Jharkhand.
Menurut polis, Chhotu menggunakan ketampanannya untuk memikat sekali gus mengahwini wanita yang ditemuinya ketika mengadakan persembahan di majlis-majlis keramaian.
Kesemua enam wanita termasuk janda dan ibu tunggal yang dinikahinya berasal dari empat negeri berbeza. - Sinar Harian/Agensi