Radang usus, tekanan jiwa selubungi kem tentera Zionis

Agensi
Disember 7, 2023 14:58 MYT
Ramai tentera mengalami gejala keracunan makanan, termasuk cirit-birit yang teruk dan suhu badan tinggi. - Gambar Reuters
Tentera Israel yang ditempatkan di Semenanjung Gaza dilaporkan berdepan radang usus dan keracunan makanan.
Beberapa media Teluk melaporkan "peningkatan luar biasa dalam penyakit usus di kalangan tentera Israel" sejak awal minggu ini.
Laporan media Israel menyebut, sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober, banyak restoran dan individu menyumbangkan makanan kepada tentera Israel, yang mungkin tercemar semasa penyediaan, pengangkutan atau penyimpanan.
Ramai tentera mengalami gejala keracunan makanan, termasuk cirit-birit yang teruk dan suhu badan tinggi.
"Ramai anggota tentera mengalami cirit birit," kata Tal Brosh, pengarah Unit Penyakit Berjangkit di Hospital Besar Assuta di Ashdod.
"Jangkitan bakteria Shigella, yang menyebabkan gastroenteritis, dan ini adalah penyakit yang sangat serius. Jangkitan bakteria Shigella berlaku melalui sentuhan langsung antara individu atau melalui makanan," tambah Brosh.
Jelasnya, jika jangkitan itu terus merebak, ia akan menyebabkan demam mencapai 40 darjah Celsius, cirit birit yang berpanjangan, malah akan turut terdedah dengan risiko kematian.
Bagaimanapun, masalah keracunan makanan bukanlah satu-satunya masalah dalam kem tentera Israel.
Menurut Perbadanan Penyiaran Israel (KAN), sekurang-kurangnya 2,000 tentera telah menerima kaunseling psikiatri sejak serangan pada 7 Oktober lalu.
Tentera Israel telah menubuhkan dua pusat kesihatan mental, selain talian hotline, bagi menyediakan akses kepada ahli psikologi dan psikiatri untuk mendapatkan sokongan.
#Israel #Gaza #Zionis #keracunan makanan
;