Rachmawati Soekarnoputri antara tujuh dituduh cuba jatuhkan kerajaan Indonesia
Bernama
Disember 3, 2016 23:20 MYT
Disember 3, 2016 23:20 MYT
Polis hari ini mengesahkan Rachmawati Soekarnoputri, adik bekas presiden Megawati Soekarnoputri, antara tujuh individu ditahan kerana mempunyai pakatan menjatuhkan kerajaan.
Ketua Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, Boy Rafli Amar berkata tujuh individu disiasat di bawah perbuatan "makar" dalam bahasa Indonesia itu, antara 10 ditahan dalam operasi khas bersempena perhimpunan "Aksi Damai 2 Dis", semalam.
Selain anak presiden pertama Indonesia itu, enam lagi individu disiasat dalam tuduhan makar itu ialah aktivis masyarakat Kivlan Zein, Adityawarman Thahar, Ratna Sarumpaet, Firza Huzein, Eko Santjojo dan Alvin Indra.
"Mereka ditahan di tempat berasingan termasuk di rumah dan hotel terkemuka pagi semalam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Artis popular Ahmad Dhani pula ditahan bagi siasatan menghina lambang negara iaitu menghina presiden manakala dua lagi individu ditahan di bawah Undang-Undang Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE) kerana menghasut dan menimbulkan isu perkauman dalam media sosial.
"Tujuh daripada mereka termasuk Rachmawati dan Ahmad Dhani telah dibebaskan kerana memberi kerjasama membantu siasatan manakala tiga lagi masih ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata kesemua yang dibebaskan itu akan tetap disiasat dan polis mempunyai beberapa bukti mengenai kegiatan mereka setelah memantau selama lebih enam bulan.
Mereka dipercayai cuba memanfaatkan perhimpunan umat Islam yang membantah penyandang Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama pada 4 Nov lepas dan perhimpunan susulan dikenali sebagai "Aksi Damai 2 Dis".
Semalam, ratusan ribu umat Islam berhimpun di ibu kota bagi menyertai Aksi Damai 2 Dis dan peserta kemudiannya menunaikan solat Jumaat di perkarangan Monumen Nasional (Monas).
Jemaah solat Jumaat itu melimpah sehingga sepanjang Jalan Thamrin, Tanah Abang dan sekitar laluan menuju ke Monas.
Perhimpunan itu sebagai susulan demontrasi menggesa pihak berkuasa menahan Basuki atau lebih dikenali sebagai Ahok atas tuduhan menista agama Islam ekoran ucapannya di Kepulauan Seribu, dua bulan lepas.
Ahok, calon tunggal bukan Islam yang mempertahankan jawatannya sempena Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) pada Februari 2017, meminta umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pihak menggunakan surah Al Maidah dalam Al Quran yang meminta umat Islam supaya tidak memilih orang bukan Islam memimpin mereka.
Ahok akan ditentang bekas Menteri Pendidikan Anies Baswedan dan anak sulung bekas presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Agus Yudhoyono.
Indonesia adalah negara paling banyak umat Islam di dunia dengan lebih 80 peratus daripada hampir 300,000 penduduknya beragama Islam.
#Ahmad Dhani
#Boy Rafli Amar
#Megawati Soekarnoputri
#menjatuhkan kerajaan Indonesia
#Rachmawati Soekarnoputri