QZ8501: Polri nafi pengkebumian beramai-ramai

Harits Asyraf Hasnan
Januari 5, 2015 17:50 MYT
Polis Indonesia akan memastikan proses pengkebumian beramai-ramai penumpang AirAsia QZ8501 tidak akan dilaksanakan. - Gambar Fail
Kepolisan Negara Republik Indonesia (POLRI) akan memastikan proses pengkebumian beramai-ramai penumpang AirAsia QZ8501 tidak akan dilaksanakan.
Menurut Ketua Polis Republik Indonesia Sutarman, semua jasad yang ditemui akan dikenalpasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Beliau berkata demikian kepada keluarga mangsa nahas pesawat QZ8501 sekaligus menafikan laporan media yang meluas berkenaan perkara tersebut.
"Saya pastikan semua yang ditemui akan dikenalpasti. Tidak akan dikuburkan beramai-ramai, itu isu tidak betul, jangan dengarkan," kata Sutarman pada sidang media di Pusat Operasi Markas Polis Daerah (Polda) Jawa Timur, Isnin.
[GALERI FOTO]: QZ8501: LEBIH BANYAK MAYAT, SERPIHAN DITEMUI
Sutarman turut meminta keluarga mangsa untuk bersabar kerana proses mengenalpasti jasad memerlukan masa yang panjang lantaran prosedur siasatan yang ketat.
"Kalau masih ada organ mungkin lebih cepat, kalau sudah tinggal tulang, kami perlu beberapa lama. Antemortem ada, pasti dapat dikenalpasti dan memerlukan masa kerana kami tidak mahu tersalah," ujarnya.
Menurut beliau, kini terdapat 260 anggota dari Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI) yang sedang mengenalpasti jasad mangsa.
Jumlah tersebut dilaporkan akan bertambah berikutan kesiapsiagaan beberapa pakar forensik dari beberapa negara asing seperti Singapura, Australia, Korea Selatan dan Arab Saudi.
Sutarman juga memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa atas kelewatan proses pengecaman.
Beliau turut menafikan kononnya proses pengecaman mangsa akan dilakukan di Pangkalan Bun.
Hingga jam 2 petang (waktu tempatan), Hospital Bhayangkara sudah menerima 34 jasad di mana sembilan daripada jumlah tersebut telah diserahkan kepada keluarga mangsa.
#AirAsia QZ8501 #Hospital Bhayangkara #Jawa Timur #Jeneral Polis Sutarman #Pengkalan Bun #Polda #Pusat Operasi Markas Polis Daerah #Pusat Operasi Markas Polis Daerah Jawa Timur
;