QZ8501: Pasukan penyelamat Indonesia gagal apung fiuslaj
AFP
Januari 24, 2015 20:48 MYT
Januari 24, 2015 20:48 MYT
Pasukan penyelamat Indonesia gagal untuk mengapungkan fiuslaj pesawat AirAsia QZ8501 dari dasar laut pada Sabtu.
Operasi mengapungkan fiuslaj dilakukan sehari selepas pasukan penyelam berjaya masuk buat kali pertama ke dalam seksyen utama pesawat itu yang terhempas di Laut Jawa bulan lalu.
Cuaca buruk sejak beberapa minggu lalu telah menghalang usaha pasukan penyelamat ke bahagian utama Airbus A320-200 sejak ia dikesan kapal milik tentera di dasar laut awal bulan ini.
"Kami tidak berjaya hari ini. Kabel terputus dan ini menyebabkan badan utama pesawat jatuh kembali ke dasar laut," kata S.B. Supriyadi, pegawai agensi penyelamat, kepada AFP.
Operasi untuk mengangkat badan utama pesawat malang itu akan bersambung esok.
Pada pagi Sabtu, pasukan penyelam mula menjalankan operasi turun ke dasar laut untuk mengikat beg pengapung pada fiuslaj kapal terbang.
Dalam pada itu, empat mayat turut ditemui di dalam pesawat ketika usaha mengangkat bahagian utama, menjadikan bilangan mayat yang dijumpai setakat ini ialah 69.