QZ8501: Kerosakan komponen, kelemahan latihan kecemasan punca nahas
Agensi
Disember 2, 2015 23:35 MYT
Disember 2, 2015 23:35 MYT
Perkembangan siasatan tentang nahas pesawat AirAsia Indonesia yang menjunam ke Laut Java pada penghujung Disember 2014 hingga mengorbankan 162 orang, telah merumuskan bahawa terdapat kelemahan latihan untuk juruterbang khususnya ketika berlaku hal-hal kecemasan.
Dalam laporan akhir Agensi Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia, kerosakan pada sistem kemudi pesawat Airbus A320-200 telah mencetuskan rangkaian kejadian yang mengakibatkan nahas berkenaan.
Namun juruterbang mengambil keputusan mengatur semula sistem dengan menutup kawalan autopilot, seterusnya mengendali penerbangan secara manual tanpa cukup pengalaman hinggakan pesawat itu akhirnya berputar dan menjunam ke lokasi ia terhempas.
Laporan itu mendedahkan petunjuk terkini tentang nahas pesawat QZ8501 pada 28 Disember 2014 itu, ketika ia terbang di laluan rutin antara Surabaya ke Singapura.
Sejumlah 56 mayat tidak dapat ditemui walaupun operasi pencarian melibatkan pasukan antarabangsa bersama asset masing-masing telah dijalankan.
Penemuan terbaharu
Pasukan penyiasat sebelum ini telah menyalahkan cuaca buruk sebagai puncanya, namun penemuan terbaharu itu menunjukkan faktor kerosakan komponen pesawat dan kelemahan latihan juruterbang berkenaan khususnya dalam situasi kecemasan.
Kerosakan pada pateri sistem kemudi yang sudah 23 kali berlaku pada tahun-tahun sebelumnya pernah menghantar isyarat yang salah kepada juruterbang.
Pembantu juruterbang dalam pesawat itu cuba untuk mengendali penerbangan tersebut selepas menerima isyarat salah. Namun kerana kekurangan pengalaman dan gagal menangani situasi kecemasan dan kesilapan komunikasi antara juruterbang telah menyebabkan nahas itu.
"Ia adalah senario kemalangan yang pernah berlaku pada masa lalu. Ia tentang juruterbang, sama ada tersalah tafsir tentang kerosakan komponen atau tidak mampu menyelesaikan isu,” ujar pakar penerbangan dari Singapore Management University, Terence Fan.
Tragedi QZ8501 merupakan nahas yang pertama berlaku terhadap syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia, AirAsia.
Namun penganalisis beranggapan kejadian tersebut telah membuktikan kelemahan syarikat berkenaan selepas kejayaannya dalam masa 13 tahun.
"Imej AirAsia akan terjejas kerana laporan yang dikeluarkan berkata bahawa mereka tidak memeriksa pesawat mereka dengan teliti dan krew kokpit tidak bertindak seperlunya dalam kejadian tersebut,” kata Penganalisis Endau Analytics Shukor Yusof.
Dalam laporan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa, penyiasat Nurcahyo Utomo berkata, juruterbang QZ8501 adalah tidak terlatih dalam mengendalikan pesawat Airbus QZ8501 yang ketika itu berada dalam keadaan tidak stabil dan tidak disyorkan pengeluar untuk diterbangkan.
Manual penerbangan
Bekas pengarah penerbangan Perancis BEA, Jean-Paul Troadec yang mentadbir pangkalan Airbus di Perancis berkata, AirAsia tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan agensi tersebut dalam kursus yang dikenakan.
BEA telah menetapkan peraturan-peraturan baru untuk juruterbang selepas tragedi penerbangan Air France yang hilang di Lautan Atlantik pada tahun 2009, di bawah keadaan yang sama bagi penerbangan AirAsia.
"Beberapa cadangan (BEA) mengenai subjek latihan juruterbang telah jelas tidak dilaksanakan oleh syarikat penerbangan ini," kata Troadec kepada AFP.
Manakala, perunding penerbangan Jakarta CommunicAvia, Gerry Soejatman berkata, kedua-dua kemalangan AirAsia dan AF447 terjadi selepas berlakunya masalah teknikal yang menyebabkan pesawat terhempas.
"Kesemua perkara tersebut ada dalam manual penerbangan, tetapi kita masih berdepan dengan dua kes di mana juruterbang tidak melakukan perkara yang sepatutnya untuk memulihkan keadaan.
"Kemungkinan mereka tidak sedar apa yang berlaku atau mungkin tidak mempunyai latihan yang cukup dalam menghadapi masalah ketika berada pada satu-satu ketinggian,” kata Soejatman kepada AFP.