QZ8501: Jasad disangka mayat mangsa rupanya seekor monyet

Astro Awani
Februari 5, 2015 12:31 MYT
Pasukan DVI menyangka mayat itu milik penumpang pesawat QZ8501 kerana ketinggian 30-35 sentimeter itu hampir menyerupai tubuh kanak-kanak. -Gambar fail
Tidak semua mayat yang diserahkan kepada Posko DVI Polda Jatim ialah mayat nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Ini terbukti apabila mayat yang diterima dari Sulawesi dua hari lepas merupakan tubuh seekor monyet.
Pasukan DVI sudahpun memberi label pada mayat itu dengan nombor B077, lapor portal Kompas.
"Hari ini kami pastikan bahawa jenazah dengan label B077 bukanlah korban pesawat QZ8501, melainkan tubuh primat jenis monyet," kata Ketua Tim DVI Polda Jatim Kombes Pol Budiyono pada Rabu.
Budiyono berkata, pasukannya menyangka mayat itu milik penumpang pesawat QZ8501 kerana ketinggian 30-35 sentimeter itu hampir menyerupai tubuh kanak-kanak.
"Hanya kulit dan tulang dari leher sampai pinggul saja yang ditemukan, isi perut dan daging sudah tidak ada," katanya.
Namun setelah dilakukan pemeriksaan teliti, pasukan DVI berasa ragu yang ia tubuh manusia berdasarkan pemerhatian pada kulitnya.
"Kalau kulit manusia, selama 30 hari di lautan, pasti sudah rosak, tetapi ini masih tebal," jelas Budiyono.
Selain daripada kulit, pasukan DVI yakin bahawa mayat itu bukan manusia setelah meneliti struktur tulangnya.
Menurutnya, tulang yang ditemui sudah bersambung sempurna sedangkan tulang kanak-kanak sepatutnya tidak begitu. Jelasnya, ini bermakna jasad yang ditemui sudah dewasa.
Dalam perkembangan sama, tiga lagi mayat berjaya dikenal pasti hari ini. Mereka ialah Indah Yuni, 24, dari Ponorogo, Jawa Timur; Syaiful Rachmad, 38 dari Jakarta; dan Joe Jeng Fei, 48 dari Surabaya.
Dengan tambahan tiga jenazah ini, 68 daripada 78 mayat telah dikenal pasti pasukan DVI Polda Jatim.
#AirAsia Indonesia #monyet #QZ8501 #Singapura #Surabaya
;