QZ8501: Dua lagi mayat mangsa ditemui
Bernama
Januari 18, 2015 07:21 MYT
Januari 18, 2015 07:21 MYT
Dua lagi mayat mangsa penerbangan QZ8501 ditemui di kawasan pencarian utama dan telah dipindahkan oleh kapal mencari dan menyelamat (SAR) ke Pangkalan Bun.
AirAsia dalam kenyataannya malam Ahad berkata setakat ini, Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Republik Indonesia mengesahkan telah menemui sejumlah 53 mayat dengan 45 telah dikenal pasti, enam sedang dikenal pasti dan dua lagi masih belum tiba di Hospital Bhayangkara.
Kenyataan itu menyebut Jabatan Pengenalpasti Mangsa Bencana (DVI) Polis Republik Indonesia (DVI POLRI) kini sedang mengumpul lebih banyak bukti DNA yang diperlukan bagi menyamakan data ante-mortem dan post-mortem kepada enam mayat yang sedang dikenalpasti.
Sementara itu, operasi SAR diteruskan pagi ini walaupun ombak besar dan arus deras menyebabkan usaha penyelam bagi menghampiri serpihan fiuslaj yang berada di kedalaman 28 meter di dasar Laut Jawa tertunda.
"Penyelam telah mencuba menghampiri serpihan tersebut untuk pemerhatian yang lebih lanjut tetapi kembali ke permukaan kerana keadaan laut yang bergelora," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Basarnas memberi jaminan misi mencari dan menyelamat penumpang QZ8501 masih menjadi keutamaan kerana disyaki masih banyak penumpang terperangkap di bawah serpihan tersebut.