Qu Dongyu dipilih semula sebagai Ketua Pengarah FAO

Bernama
Julai 3, 2023 07:15 MYT
Sepanjang empat tahun ini, FAO diterajui Qu (gambar) telah berjaya menangani cabaran keselamatan makanan global dengan melaksanakan beberapa reformasi. - Foto Twitter Food and Agriculture Organization
ROM: Penyandang kerusi Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Qu Dongyu berjaya mengekalkan jawatan itu untuk empat tahun lagi selepas mendapat undi majoriti pada Perhimpunan Agung ke-43 FAO di sini, pada Ahad.
Mengikut prosedur, pemilihan itu dijalankan melalui undian tanpa nama, disertai 182 negara anggota.
Qu yang pertama kali dipilih sebagai Ketua Pengarah FAO pada Jun 2019 itu memperoleh 168 undi pada kali ini dan akan memulakan penggal baharunya pada 1 Ogos.
Sepanjang empat tahun ini, FAO yang diterajui oleh Ketua Pengarah pertama dari China itu telah berjaya menangani cabaran keselamatan makanan global dengan melaksanakan reformasi seperti pengoptimuman struktur pengurusan, pengembangan fungsi baharu dan mengadaptasi model perniagaan baharu.
Kejayaan itu secara tidak langsung menyokong transisi sistem pertanian dan makanan global, serta memacu pelaksanaan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan, yang mendapat pengiktirafan meluas oleh negara-negara anggota.
Ditubuhkan pada 1945 dan beribu pejabat di Rom, FAO ialah agensi pertanian khusus dalam sistem PBB dan berperanan penting dalam pertukaran dasar pertanian dan makanan global, penetapan piawaian, serta statistik.
-- BERNAMA
#Qu Dongyu #FAO PBB #undi majoriti #Ketua Pengarah FAO
;