Qatar sahkan rundingan gencatan senjata masih berlangsung
Astro Awani
Januari 8, 2025 09:30 MYT
Januari 8, 2025 09:30 MYT
DOHA: Kementerian Luar Qatar pada Selasa mengesahkan bahawa rundingan antara pejuang Hamas dan Israel untuk mencapai perjanjian gencatan senjata masih diteruskan.
Jurucakap kementerian, Majid Al-Ansari, menyatakan bahawa "terdapat banyak isu yang sedang dibincangkan" tetapi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk menetapkan sebarang garis masa mencapai persetujuan.
Jelasnya, apabila perjanjian dicapai, kementerian itu akan mengumumkannya pada hari dan masa yang ditetapkan.
Israel dan Hamas sekali lagi dilihat kembali menilai proses perjanjian gencatan senjata yang boleh mengakhiri perang 15 bulan di Gaza dan membawa pulang puluhan rakyat Israel yang dijadikan tahanan di wilayah itu.
Kedua-dua pihak berada di bawah tekanan dari Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, serta presiden terpilih Donald Trump, untuk mencapai perjanjian sebelum majlis pelantikan pada 20 Januari.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak sebelum ini telah hampir mencapai persetujuan tetapi rundingan sering kali gagal akibat pelbagai perselisihan.