Qatar, Mesir, AS komited pastikan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza

Bernama
Januari 16, 2025 08:50 MYT
Penduduk Palestin mengibarkan bendera selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata di Gaza mulai Ahad ini. - Foto REUTERS
ISTANBUL: Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) berikrar pada Rabu untuk menjamin pelaksanaan perjanjian gencatan senjata di Gaza antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas, yang dijangka berkuat kuasa pada 19 Jan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ketiga-tiga negara itu mengumumkan bahawa "pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Gaza telah mencapai persetujuan untuk pembebasan tebusan sebagai pertukaran dengan tebusan dan tahanan serta kembali kepada ketenangan yang mampan, dengan matlamat akhirnya mencapai gencatan senjata kekal antara pihak-pihak terbabit," menurut kenyataan Kementerian Luar Qatar.
"Perjanjian itu dijangka berkuat kuasa mulai 19 Jan 2025," tambah kenyataan bersama itu.
"Perjanjian yang dicapai oleh kedua-dua pihak merangkumi tiga peringkat.
"Peringkat pertama, yang berlangsung selama 42 hari, melibatkan gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dari kawasan berpenduduk, pertukaran tebusan dan tahanan, kepulangan rakyat Palestin ke rumah mereka serta pemindahan pesakit dan mereka yang cedera untuk mendapatkan rawatan," menurut kenyataan itu.
Ia turut merangkumi penghantaran bantuan kemanusiaan berskala besar, termasuk bekalan perubatan, makanan, bahan bakar dan bahan untuk tempat perlindungan.
Hospital, pusat kesihatan dan kedai roti akan dibaik pulih, sementara bekalan untuk pertahanan awam juga akan dihantar.
Ketiga-tiga negara itu mengesahkan peranan mereka sebagai penjamin untuk memastikan semua peringkat perjanjian dilaksanakan sepenuhnya.
Para perantara akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan antarabangsa untuk mengawasi proses itu serta menyokong aliran bantuan ke Gaza. Mereka turut menggesa negara lain untuk menyertai usaha tersebut di bawah mekanisme yang ditetapkan bagi melaksanakan perjanjian itu.
-- BERNAMA
#Gaza #gencatan senjata #Israel #Hamas
;