Qatar mahu PA kembali mentadbir di Gaza
Astro Awani
Januari 22, 2025 08:40 MYT
Januari 22, 2025 08:40 MYT
DAVOS: Qatar berharap Pihak Berkuasa Palestin atau Palestin Authority (PA) akan kembali memainkan peranan mentadbir Gaza, sebaik perang dengan Israel tamat,
Kata Perdana Menterinya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, hanya penduduk Gaza yang sewajarnya menentukan bagaimana wilayah itu ditadbir.
Kenyataan ini dibuat di sebalik sidang WEF di Davos.
"Kami berharap melihat Pihak Berkuasa Palestin (PA) kembali ke Gaza, dan kami berharap akan ada sebuah kerajaan yang benar-benar menangani isu-isu rakyat di sana.
"Banyak isu yang perlu diatasi, dan perjalanan untuk memulihkan Gaza masih panjang. Lihatlah apa yang telah kita saksikan dalam imej di media dan berita selama 15 bulan terakhir - ia tidak menggambarkan situasi sebenar di sana dengan adil.
"Sekarang, kita akan mula melihat bencana sebenar yang ditinggalkan," katanya.
Bagaimana Gaza akan ditadbir selepas perang tidak dibincangkan secara langsung dalam perjanjian antara Israel dan kumpulan Hamas yang membawa kepada gencatan senjata segera dan pembebasan tebusan selepas hampir 15 bulan rundingan yang diusahakan oleh Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat (AS).
Israel menolak sebarang peranan pemerintahan oleh Hamas, yang mentadbir Gaza sebelum perang.
Tetapi ia juga hampir sama menentang pemerintahan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA), badan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Damai Oslo sementara tiga dekad lalu dengan kuasa pemerintahan terhad di Tebing Barat.
PA, yang didominasi oleh puak Fatah yang diasaskan oleh bekas pemimpin Palestin Yasser Arafat, menghadapi tentangan daripada puak pesaing Hamas, yang mengusir PA dari Gaza pada tahun 2007 selepas perang saudara singkat.