Qatar kecam tentera Israel bunuh wartawan Al Jazeera

Bernama
Mei 11, 2022 16:54 MYT
Wartawan Akleh sedang membuat liputan serangan Israel ke atas kem pelarian Jenin apabila wartawan wanita itu dibunuh. - Gambar/ Al Jazeera
ANKARA: Kementerian Luar Qatar pada Rabu mengecam pembunuhan seorang wartawan veteran Al Jazeera oleh tentera Israel di Tebing Barat yang dicerobohi, lapor Agensi Anadolu.
Wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh, 51, ditembak mati di bandar Jenin. Seorang lagi wartawan, Ali Al-Samoudi, ditembak di belakang, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
"Penceroboh Israel membunuh wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh dengan menembaknya di muka ketika beliau memakai jaket media dan topi keledar," ciap Pembantu Menteri Luar Lolwah Alkhater di Tweeter.
BACA: Wartawan Al Jazeera maut ditembak tentera Israel
Alkhater menegaskan bahawa wartawan Akleh sedang membuat liputan serangan Israel ke atas kem pelarian Jenin apabila wartawan wanita itu dibunuh.
"Keganasan yang didokong negara Israel ini mesti dihentikan, sokongan tanpa syarat kepada Israel mesti ditamatkan," tambahnya.
-- BERNAMA
#Al Jazeera #Palestin #Israel #pembunuhan wartawan
;